Industri acara perniagaan P.Pinang jana RM1.29 bilion pada 2024 - Chow
Bernama
Mac 10, 2025 06:30 MYT
Mac 10, 2025 06:30 MYT
Chow ketika hadiri majlis Tinjauan Tahunan Acara Perniagaan Pulau Pinang 2024. - Foto BERNAMA
BAYAN LEPAS: Industri acara perniagaan di Pulau Pinang mencatatkan anggaran impak ekonomi (EEI) sebanyak RM1.29 bilion pada tahun lepas, peningkatan signifikan sebanyak 24.8 peratus berbanding 2023.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu menjadi tuan rumah kepada 2,059 acara perniagaan pada 2024, menunjukkan peningkatan luar biasa sebanyak 240.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata acara-acara tersebut menarik lebih 305,259 peserta, mencatatkan kenaikan sebanyak 87.3 peratus, sementara jumlah bilik bermalam mencecah 558,543, menunjukkan pertumbuhan stabil sebanyak 3.6 peratus.
"Lonjakan ini adalah hasil kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, rakan niaga industri dan pasukan profesional di Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB)," katanya ketika berucap pada Tinjauan Tahunan Acara Perniagaan Pulau Pinang 2024 di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin.
Dalam pada itu Chow memaklumkan Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah beberapa mesyuarat ASEAN pada tahun ini melibatkan pelbagai peringkat, termasuk mesyuarat pegawai kanan dan menteri, merangkumi sektor-sektor strategik seperti keselamatan, ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan pembangunan belia.
"Penglibatan ini akan meletakkan Pulau Pinang sebagai hub penting bagi acara serantau dan antarabangsa, memanfaatkan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN untuk menarik perhatian global dan pelaburan," katanya.
Sementara itu, Wong berkata kehadiran delegasi ke acara perniagaan akan memberikan impak positif kepada pelancongan tempatan dan sektor ekonomi berkaitan, termasuk hotel, restoran, pengangkutan dan industri lain, yang akan mendorong pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.
"Tahun ini, kita sedang giat membuat persiapan untuk tiga persidangan utama, masing-masing dijangka menarik lebih 8,000 peserta.
"Dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, beberapa mesyuarat antarabangsa penting akan berlangsung di Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai hab persidangan serantau," katanya.
Wong turut menyatakan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menjadi lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun lepas, menonjolkan peranan negeri ini yang semakin berkembang sebagai pusat utama untuk perniagaan dan pelancongan.
-- BERNAMA