Indonesia kurangkan bilangan pekerja ekspatriat

Bernama
September 16, 2013 19:29 MYT
Indonesia mengurangkan pengambilan pekerja ekspatriat sejak tahun lepas dalam usaha menawarkan lebih banyak peluang untuk membangunkan modal insan tempatan.
Kerajaan Indonesia juga merancang memperkenal lebih banyak sekatan tahun depan menerusi peraturan baharu bagi melindungi pekerja tempatan, menjelang pewujudkan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015.
Menerusi rangka kerja AEC itu, negara anggota Asean - Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam - dijangka menghapuskan halangan, secara berperingkat-peringkat, ke atas pergerakan pekerja di rantau itu.
Data Kementerian Tenaga dan Transmigrasi Indonesia menunjukkan sejak kerajaan menutup 19 jenis pekerjaan kepada ekspatriat tahun lepas, angkanya menurun enam peratus atau 4,880 kepada 72,427 berbanding 2011.
"Kami mengetatkan permit (ekspatriat) kerana kami merasakan rakyat Indonesia juga berkelayakan untuk jawatan itu," kata Ketua Pengarah Penempatan Pekerja Indonesia Reyna Usman yang dipetik oleh harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, pada Isnin.
Beliau berkata sekatan itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi syarikat asing di Indonesia memandangkan mereka sudah bersetuju untuk mematuhi permintaan daripada pihak berkuasa untuk mengambil pekerja tempatan.
Antara Januari hingga Ogos tahun ini, kementerian itu hanya meluluskan 48,000 permit untuk pekerja asing dan Reyna mengunjurkan angka itu semakin kecil tahun ini.
Pekerja asing yang memperoleh permit kebanyakannya terdiri daripada warga China, sebanyak 10,291 atau 21.4 peratus berikutan kebanyakan barangan modal yang diimport seperti mesin dan peralatan, dibawa masuk dari China.
Warga Jepun menyumbang jumlah kedua terbesar, seramai 9,788, diikuti Korea Selatan seramai 6,013.
Sektor industri mengambil ekspatriat paling ramai, diikuti sektor perdagangan, pembinaan, perlombongan serta minyak dan gas.
#Indonesia #Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC)
;