Indonesia akan perkenal 'rupiah digital'

Agensi
Disember 6, 2022 19:39 MYT
Menurut Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo transaksi rupiah digital disifatkan sebagai tidak dapat dielakkan dan ia alat transaksi masa depan - Foto/REUTERS
INDONESIA sedang menetapkan rancangan dan konsep rupiah digital berasaskan blockchain, bermula dengan transaksi antara bank tempatan
Memetik laporan media, rupiah digital yang dikenali sebagai 'Projek Garuda' merupakan percubaan Bank Indonesia untuk bereksperimen dengan mata wang digital bank pusat bagi melindungi kedudukannya sebagai pihak berkuasa tunggal yang mengeluarkan tender sah dalam era digital.
Menurut Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo transaksi rupiah digital disifatkan sebagai tidak dapat dielakkan dan akan digunakan sebagai transaksi masa depan.
"Langkah itu akan memastikan Indonesia berada di barisan hadapan dalam usaha membangunkan CBDC (Mata Wang Digital Bank Pusat), seperti Project Dunbar dan Project mBridge yang turut disertai Bank Indonesia," ujarnya.
Perry menambah, bakal ada perjanjian antara bank pusat mengenai kadar pertukaran yang digunakan untuk mata wang digital dan mengenai penyeliaan operasinya, termasuk risiko siber dan aliran modal.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara pada masa ini melarang penggunaan mata wang kripto sebagai alat pembayaran, tetapi membenarkan transaksi aset digital dalam pasaran niaga hadapan komoditi untuk tujuan pelaburan.
Difahamkan, langkah seterusnya ialah penggunaan CBDC akan diperluaskan ke seluruh pasaran wang antara bank dan operasi monetari.
Rupiah digital kemudian akan digunakan oleh pengguna runcit untuk urus niaga termasuk pemindahan dana kepada pembayaran.
Ini sejajar dengan usaha Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mendigitalisasikan Kerajaan republik berkenaan dalam Inisiatif tadbir urus yang lebih mampan dan inklusif menjelang 2025.
#Rupiah digital Indonesia #Projek Garuda Indonesia #mata wang digital
;