Indonesia AirAsia mulakan penerbangan Jakarta-Kuching pada 15 Jun
Bernama
Mei 4, 2023 19:12 MYT
Mei 4, 2023 19:12 MYT
KUCHING: Indonesia AirAsia akan mula menawarkan laluan baharu penerbangan yang menghubungkan Jakarta dengan Kuching mulai 15 Jun ini sebagai sebahagian usahanya untuk melonjakkan sektor pelancongan di rantau Asean.
Dalam kenyataan yang diterima di sini pada Khamis, AirAsia menjelaskan tambang promosi dari serendah RM199 untuk penerbangan sehala kini boleh didapati di aplikasi dan laman web AirAsia untuk penerbangan ini.
Penerbangan ini ditawarkan tiga kali seminggu iaitu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.
Promosi ini kini bermula dan sehingga 14 Mei untuk perjalanan yang akan dilakukan di antara 15 Jun, 2023 dengan 29 Okt, 2023.
"Jakarta ialah bandar kedua di Asean yang akan dihubungkan dengan Sarawak oleh AirAsia. Pada masa ini AirAsia Malaysia terbang antara Singapura dan tiga bandar di Sarawak iaitu Kuching, Miri dan Sibu, menjadikannya syarikat penerbangan dengan rangkaian terluas antara Singapura dan Sarawak," jelasnya.
Berdasarkan jadual penerbangan yang disertakan bersama kenyataan itu, penerbangan Jakarta-Kuching akan berlepas pada pukul 7.30 pagi (waktu Indonesia Barat) dan tiba di Kuching pada pukul 10.40 pagi (waktu Malaysia).
Penerbangan balik pula akan berlepas pada pukul 11.10 pagi (waktu Malaysia) dan tiba di Jakarta pada pukul 12.20 tengah hari (waktu Indonesia Barat).
AirAsia turut menawarkan perkhidmatan domestik bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA