India tak mungkin berkembang pada 6 peratus
Bernama
Januari 2, 2013 15:51 MYT
Januari 2, 2013 15:51 MYT
Pertumbuhan India tidak mungkin melebihi enam peratus dalam tahun fiskal berakhir Mac 2013, demikian menurut satu laporan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri India (Assocham).
"Ia mungkin tidak melebihi 6.2-6.5 peratus walaupun dalam tahun kewangan 2013/14," kata laporan itu berdasarkan input daripada pakar ekonomi dan pemimpin industri.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India meningkat sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh Julai-Sept tahun lepas, lebih rendah daripada 5.5 peratus dalam suku pertama (April-Jun).
Meskipun ada yang yakin penurunan ini sudah mencapai had paling rendah, namun ekonomi India masih berhadapan dengan masalah utama inflasi tinggi dan kadar faedah tinggi, kurangnya keyakinan pelabur dan situasi yang buruk bagi pengeksport, kata badan industri itu dalam satu kenyataan.
Laporan itu menyenaraikan keterbatasan kerajaan untuk melaksanakan suntikan dana untuk merangsang permintaan pengguna dari segi menurunkan kadar cukai ke atas individu atau industri.
Situasi fiskal ibarat telur di hujung tanduk, hingga sukar bagi Menteri Kewangan, P. Chidambaram, memulihkan permintaan industri dan pengguna dalam belanjawan akan datang.
Meskipun Bank Rizab telah membayangkan kemungkinan kadar faedah diturunkan dalam bulan ini, namun membendung inflasi akan terus menjadi keutamaan bagi bank pusat itu, walau bagaimana banyak sekalipun tuntutan bagi penurunan kadar, tegas laporan itu.
Dengan defisit fiskal melebihi 80 peratus anggaran bagi keseluruhan tahun dalam lapan bulan pertama tahun kewangan semasa dan defisit akaun semasa melebar kepada 5.4 peratus KDNK dalam suku Julai-September, tanda-tanda tentang keadaan kewangan kerajaan tidak begitu menyenangkan.
Penekanan ke atas pelaksanaan segera projek-projek prasarana, serta langkah-langkah reformasi seperti lesen perbankan baharu, boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik dalam tempoh setahun.