Indeks volum Perdagangan Borong dan Runcit catat pertumbuhan kukuh

Astro Awani
Ogos 11, 2021 12:44 MYT
Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum menurun 7.7 peratus pada suku tahun ini. - Foto: DOSM
KUALA LUMPUR: Indeks volum Perdagangan Borong dan Runcit bagi suku kedua tahun 2021 mencatatkan pertumbuhan kukuh 22 peratus, jauh lebih baik daripada penguncupan 23.4 peratus pada suku yang sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang tumbuh 28.2 peratus diikuti Perdagangan Runcit dan Perdagangan Borong masing-masing dengan 21.7 peratus dan 21.2 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum menurun 7.7 peratus pada suku tahun ini.
“Indeks volum Kenderaan Bermotor naik 28.2 peratus tahun ke tahun, disokong oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang berkembang 44.3 peratus.
“Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor, Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal dan Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor juga mencatatkan peningkatan yang signifikan masing-masing dengan 21.4 peratus, 20.3 peratus dan 6.8 peratus.
“Bagi prestasi subsektor ini berbanding suku tahun sebelumnya, ia menjunam 32.4 peratus, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, indeks volum Perdagangan Runcit yang meningkat 21.7 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya didorong oleh empat faktor.
Faktor tersebut adalah Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan, Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah dan Jualan Runcit Peralatan Informasi & Komunikasi.
“Indeks volum subsektor Perdagangan Borong juga menunjukkan trend positif untuk mencatatkan pertumbuhan 21.2 peratus pada suku kedua 2021 berbanding suku yang sama tahun 2020.
“Kenaikan ini disumbangkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong, Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan dan Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, bagi indeks volum pelarasan musim, Perdagangan Borong & Runcit menurun 5.1 peratus berbanding suku pertama 2021.
“Semua subsektor mencatatkan pertumbuhan negatif iaitu Kendaraan Bermotor -29.0 peratus, Perdagangan Runcit -2.2 peratus dan Perdagangan Borong -1.3 peratus,” ujarnya.
#suku kedua #perdangangan #runcit #borong #kenderaan bermotor #perangkawan #Malaysia #Ketua Perangkawan Malaysia #motosikal #Mohd Uzir Mahidin #suku tahun
;