Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia, Malaysia lonjak 15 anak tangga

Najib Aroff
April 26, 2023 10:30 MYT
Jika Malaysia terus menjadikan Singapura sebagai penanda aras, tidak mustahil negara akan mencapai kedudukan 10 teratas. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menyaksikan lonjakan 15 tangga dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 ke tempat ke-26 sekaligus menjadi negara ASEAN berprestasi kedua terbaik selepas Singapura.
Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, ini merupakan peningkatan ketara daripada kedudukan 41 pada 2018 dan 32 pada 2016.
"Kedudukan terbaik yang dicapai Malaysia ialah 25 dalam laporan LPI 2014 Bank Dunia," katanya ketika mengulas laporan LPI 2023.
Laporan LPI edisi ketujuh dengan tema 'Connecting to Compete', dikeluarkan selepas tiga tahun gangguan rantaian bekalan semasa pandemik COVID-19 dan merangkumi pandangan terkini mengenai prestasi logistik perdagangan di 139 negara.
Abdul Latif berkata laporan LPI adalah alat penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti tempat penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa boleh dilakukan untuk meningkatkan daya saing.
Sementara itu, Juara Logistik Produktiviti Nexus (LPN), Datuk Seri Michael Tio berkata jika Malaysia terus menjadikan Singapura sebagai penanda aras, tidak mustahil negara akan mencapai kedudukan 10 teratas.
"LPI mengukur kemudahan untuk mewujudkan sambungan rantaian bekalan yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya serta faktor struktur yang memungkinkan, seperti kualiti perkhidmatan logistik, perdagangan dan infrastruktur berkaitan pengangkutan, serta kawalan sempadan," katanya.
"Edisi LPI 2023 terbaharu ini memperkenalkan satu set baharu penunjuk prestasi utama (KPI), yang diperoleh daripada pendekatan Data Raya, mengukur kelajuan perdagangan di seluruh dunia.
"Penunjuk ini berdasarkan kemajuan teknologi dalam menjejak pergerakan antarabangsa frekuensi tinggi sebenar perkapalan maritim, kontena, pengangkutan udara, dan bungkusan pos melalui lorong perdagangan dan pintu masuk," tambahnya.
Michael berkata industri logistik mempunyai banyak ruang penambahbaikan untuk menjadikan negara sebagai destinasi logistik pilihan di ASEAN.
Selain itu Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif untuk industri logistik berkembang maju serta mempunyai sambungan yang baik melalui laluan darat, laut dan udara.
"Ketidakpadanan institusi dan peraturan, kesesakan di sempadan, aktiviti rantaian nilai rendah, dan tenaga kerja yang tidak mencukupi dan tidak mahir masih perlu ditangani.
"LPN, didorong oleh industri dengan sokongan kerajaan, akan terus menangani isu-isu ini secara berstruktur," tambahnya .
Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, MPC mempunyai mandat untuk menubuhkan LPN untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri di peringkat sektor dan perusahaan.
Rangka Kerja Prestasi Kelestarian Logistik (LSPF) adalah antara projek perdana awal ke arah ini.
#Indeks Prestasi Logistik #Bank Dunia #ASEAN #Abdul Latif Abu Seman
;