Indeks Pengeluaran Perindustrian naik 3.1 peratus pada Februari 2024 - DOSM

Bernama
April 8, 2024 15:54 MYT
Pada Januari 2024, IPP meningkat sebanyak 4.3 peratus. - Gambar hiasan/Proton
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024, didorong oleh momentum positif dalam kesemua sektor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Pada Januari 2024, IPP meningkat sebanyak 4.3 peratus.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan sederhana ini terutamanya berikutan pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan yang berkembang 1.2 peratus berbanding 3.7 peratus pada Januari 2024.
"Namun begitu, sektor perlombongan dan elektrik masing-masing terus berkembang 8.1 peratus (Januari 2024: 5.0 peratus) dan 10.9 peratus (Januari 2024: 8.3 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berbanding dengan bulan sebelumnya, IPP merosot sebanyak 6.3 peratus, berbanding positif 2.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Mohd Uzir berkata peningkatan 1.2 peratus dalam output sektor pembuatan pada Februari 2024 disokong oleh industri berorientasikan domestik yang berkembang sebanyak 3.8 peratus (Januari 2024: 8.0 peratus).
Beliau berkata pengembangan dalam industri berorientasikan domestik dipacu terutamanya oleh pembuatan produk logam fabrikasi, kecuali mesin dan kelengkapan yang mencatatkan peningkatan 8.4 peratus;diikuti oleh pembuatan produk-produk galian bukan logam lain (5.1 peratus); dan pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 2.9 peratus.
Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik merosot sebanyak 7.5 peratus berbanding peningkatan 4.9 peratus pada Januari 2024.
Sementara itu, industri berorientasikan eksport kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan kecil 0.1 peratus pada Februari 2024 berbanding pertumbuhan positif 1.6 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
"Penyusutan tersebut terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-13.5 peratus); Pembuatan kimia dan produk kimia (-2.8 peratus); dan pembuatan kelengkapan elektrik (-2.2 peratus)," tambahnya.
Mohd Uzir menegaskan bahawa pengembangan 8.1 peratus dalam sektor perlombongan pada Februari 2024 dipacu oleh pertumbuhan 11.9 peratus dalam pengeluaran gas asli (Januari 2024: 6.6 peratus) manakala pengeluaran minyak mentah dan kondensat kekal dengan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 2.5 peratus (Januari 2024: 2.6 peratus).
Berbanding Januari 2024, indeks perlombongan merosot 6.9 peratus berbanding positif 3.1 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, katanya.
-- BERNAMA
#Indeks Pengeluaran Perindustrian #IPP #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin
;