Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 5.1 peratus

Harits Asyraf Hasnan
Mei 10, 2022 13:04 MYT
Pengembangan IPP ini disumbangkan oleh peningkatan dalam ketiga-tiga sektor iaitu pembuatan, elektrik dan perlombongan. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.1 peratus pada bulan Mac 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Pengembangan IPP ini disumbangkan oleh peningkatan dalam ketiga-tiga sektor iaitu pembuatan, elektrik dan perlombongan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks pembuatan meningkat 6.9 peratus, indeks elektrik, (0.8 peratus) dan indeks perlombongan (0.3 peratus).
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 8.6 peratus disokong oleh pengembangan dalam kesemua komponen indeks.
"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.9 peratus pada bulan Mac 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada bulan Februari 2022.
"Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mac 2022 adalah Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (18.6 peratus), Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Logam yang Direka (5.6 peratus) dan Produk Makanan, Minuman dan Tembakau (4.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport iaitu 7.8 peratus dan industri berorientasikan domestik 5.1 peratus.
Jelasnya, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan logam asas.
Menurut beliau, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
#Indeks Pengeluaran Perindustrian #Mohd Uzir Mahidin #pembuatan #elektrik
;