Indeks pengeluaran perindustrian Malaysia naik 5.3 peratus pada Jun 2016

Bernama
Ogos 11, 2016 15:23 MYT
Pertumbuhan lebih tinggi ini disokong oleh peningkatan dalam indeks minyak mentah (8.8 peratus) dan indeks gas asli (3.5 peratus). - Gambar fail
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 5.3 peratus pada Jun 2016 berbanding tahun lepas, disokong oleh sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan berkata sektor pembuatan terus berkembang sebanyak 4.7 peratus pada Jun 2016 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus pada Mei 2016.
"Pertumbuhan pada Jun 2016 disokong oleh tiga subsektor iaitu barangan elektrik dan elektronik (9.1 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.0 peratus) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan pencetakan (10.1 peratus).
Sektor perlombongan menunjukkan peningkatan kukuh pada Jun 2016 dengan pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus selepas mencatatkan penurunan 1.1 peratus pada Mei 2016.
Pertumbuhan lebih tinggi ini disokong oleh peningkatan dalam indeks minyak mentah (8.8 peratus) dan indeks gas asli (3.5 peratus).
Pengeluaran sektor elektrik meningkat 8.7 peratus pada Jun berbanding 9.6 peratus yang dicatatkan pada Mei 2016.
#Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia #Jabatan Perangkaan
;