Indeks Pengeluaran Perindustrian Januari 2024 pulih pada 4.3 peratus - Perangkaan
Bernama
Mac 12, 2024 05:15 MYT
Mac 12, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pulih kepada 4.3 peratus pada Januari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP pulih kepada 4.3 peratus pada Januari 2024 selepas merekodkan sedikit penurunan 0.03 peratus pada Disember 2023, iaitu pertumbuhan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2023.
"Peningkatan ini diterajui oleh lonjakan 3.7 peratus dalam sektor pembuatan berbanding negatif 1.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
"Dalam pada itu, sektor perlombongan mengekalkan aliran menaik dengan mencatatkan 5.0 peratus (Disember 2023: 4.1 peratus). Sebagai perbandingan, pada bulan sebelumnya, IPP meningkat 2.0 peratus berbanding negatif 1.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa.
Mohd Uzir berkata pemulihan 3.7 peratus dalam sektor pembuatan pada Januari 2024 dipacu oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang meningkat kepada 8.0 peratus (Disember 2023: 4.2 peratus),
Sementara itu, industri berorientasikan eksport kembali kepada pertumbuhan positif 1.6 peratus selepas berada dalam jajaran negatif selama tujuh bulan berturut-turut (Disember 2023: -4.1 peratus).
Pengembangan dalam industri berorientasikan domestik didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler yang mencatatkan peningkatan 12.1 peratus; diikuti oleh Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan pada 11.9 peratus.
Pembuatan produk prosesan makanan turut menyumbang dengan kadar pertumbuhan 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya, katanya.
-- BERNAMA