Indeks Pendapatan Isi Rumah tidak melibatkan rumah mampu milik - Sime Darby

Astro Awani
Februari 20, 2014 05:27 MYT
Sime Darby Property Berhad menjelaskan bahawa Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah adalah untuk memberi maklumat kepada akses perumahan, terutamanya bagi penduduk Lembah Klang yang ingin menaik taraf atau melabur dalam rumah kedua.
Syarikat itu mengeluarkan kenyataan media susulan kritikan terhadap kajian tersebut yang merupakan kerjasama dengan Universiti Malaya.
"Kami ingin menegaskan bahawa penemuan utama dalam Indeks Perumahan-Pendapatan adalah berdasarkan kepada sekumpulan 1,183 pemilik rumah di kawasan terpilih di Lembah Klang. Ia tidak melibatkan pembeli rumah kali pertama. Kajian berdasarkan pendapatan isi rumah purata daripada responden yang sudah memiliki rumah di lokasi yang dinyatakan," kata seorang jurucakap Sime Darby Property Berhad.
Bekas Dekan Fakulti Alam Bina UM, Prof. Dr. Noor Rosly Hanif berkata mengikut 12 lokasi yang dikaji, pendapatan isi rumah bulanan responden yang sudah memiliki rumah adalah diantara RM9,360 di kawasan Melawati, RM20,160 di Mont Kiara dan Duta Hartamas. Lokasi lain seperti North Klang mempunyai pendapatan secara purata sebanyak RM11,300.
"Oleh itu, pendapatan purata pemilik rumah di 12 lokasi yang dikaji adalah RM14,580. Ini tidak menunjukkan pendapatan bulanan yang diperlukan untuk mampu memiliki sebuah rumah di Lembah Klang. Ia juga tidak mencerminkan tahap pendapatan purata negara seperti yang ditakrifkan oleh pihak berkuasa, " katanya.
Sime Darby juga berkata Indeks Pendapatan Isi Rumah tidak merangkumi topik rumah mampu milik seperti yang ditakrifkan oleh pihak berkuasa.
"Kajian tentang rumah mampu milik telah dikendalikan oleh pelbagai badan-badan lain, termasuk Universiti Malaya. Indeks ini adalah penyelidikan tambahan untuk lebih memahami pasaran hartanah Lembah Klang dan kajian selanjutnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat ," tambah jurucakap itu.
#Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah #Sime Darby Property Berhad