Indeks Pelopor meningkat 0.6 peratus kepada 111.6 mata pada Februari 2023 - Perangkaan
Bernama
April 20, 2023 14:01 MYT
April 20, 2023 14:01 MYT
PUTRAJAYA: Indeks Pelopor (IP) ekonomi Malaysia pulih semula dengan mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus untuk mencapai 111.6 mata pada Februari 2023 berbanding 110.9 mata pada bulan sama 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan tersebut disokong secara signifikan oleh prestasi yang baik dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain serta bilangan syarikat baru didaftar.
"Trend ini selari dengan pertumbuhan bulanan IP yang mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus pada Februari 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada bulan sebelumnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Beliau berkata melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Februari 2023, IP mencatatkan mata indeks yang lebih baik berbanding bulan sebelumnya iaitu 99.41 mata berbanding 98.61 mata pada Januari 2023.
"Meskipun masih berada di bawah trend 100.0 mata, prospek ekonomi dijangka lebih baik dalam tempoh terdekat disokong oleh permintaan domestik dan langkah dasar yang berdaya tahan di bawah Belanjawan 2023," katanya.
Mohd Uzir berkata prestasi Indeks Serentak (IS), yang mencerminkan keadaan semasa, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan 121.6 mata pada Februari lepas berbanding 116.3 mata pada Februari 2022.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh semua komponen terutamanya Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 16.8 peratus," katanya.
-- BERNAMA