Indeks Keterangkuman Digital Malaysia bakal dibangun ukur jurang digital

Bernama
September 11, 2023 14:21 MYT
Program khusus akan dikenal pasti untuk meningkatkan literasi digital dan keyakinan, terutama dalam kalangan kumpulan mudah terjejas, bagi mencapai penerimagunaan digital yang lebih meluas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyDID) akan dibangunkan untuk mengukur jurang digital dan membolehkan penyediaan dasar yang bersasar, termasuk pengagihan sumber dan pembangunan bakat.
Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan di Parlimen hari ini, program khusus akan dikenal pasti untuk meningkatkan literasi digital dan keyakinan, terutama dalam kalangan kumpulan mudah terjejas, bagi mencapai penerimagunaan digital yang lebih meluas.
Pada masa yang sama, prasyarat penerimagunaan digital untuk perniagaan akan diperkenalkan sebagai pelengkap kepada kempen sedia ada bagi membolehkan masyarakat melaksanakan aktiviti tanpa tunai.
Usaha untuk menetapkan syarat bagi membolehkan penggunaan tandatangan digital dari peringkat awal ke akhir akan dilaksana untuk memastikan keselamatan dan perlindungan transaksi serta aktiviti dalam penjagaan kesihatan digital.
Berdasarkan kajian itu, langkah ini akan meningkatkan keterangkuman dan menambah baik penerimagunaan digital.
Selain itu, program peningkatan kemahiran dengan kerjasama pemain industri, satu daripada inisiatif di bawah Anjakan Besar digital dan teknologi, akan dilaksanakan untuk memenuhi permintaan bakat digital berkemahiran tinggi, manakala garis panduan berstruktur untuk penempatan latihan teknologi digital dalam industri akan dibangunkan.
Kerajaan juga akan menyemak semula peraturan dan garis panduan sedia ada untuk memenuhi trend global semasa dan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi digital.
"Bagi tujuan ini, rang undang-undang akan dibentangkan untuk menangani isu dan pengurusan keselamatan siber. Rangka kerja kawal selia untuk ekonomi perkongsian juga akan diwujudkan untuk menyokong secara efektif industri yang sedang berkembang ini," katanya.
Usaha juga akan diambil untuk memperkukuh inisiatif dan menambah baik mekanisme pemantauan dalam menyelaras peranan dan fungsi kementerian dan agensi.
Dalam hubungan ini, pengintegrasian data berkaitan program ekonomi digital daripada pelbagai kementerian dan agensi akan dilaksanakan.
Langkah-langkah juga akan diambil untuk menyelaras program ekonomi digital yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengoptimumkan sumber.
Pada 2021, sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 23.3 peratus, menghampiri sasaran 25.5 peratus pada 2025.
Antara pencapaian RMK12 termasuk penubuhan MyDIGITAL Corporation dan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian yang ditubuhkan pada tahun 2022.
Sehingga 2022, sejumlah 1.13 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna e-dagang, 13,398 pekerja bebas dalam bidang digital dan pekerja gig telah dilatih, 90 syarikat pemula baharu beroperasi di Hab Digital Malaysia dan 200 PMKS tempatan mengeksport penyelesaian digital.
Bagi capaian internet, liputan 4G di kawasan berpenduduk pada 2022 berada pada 96.9 peratus dengan sasaran 100 peratus pada 2025, manakala akses perkhidmatan jalur lebar talian tetap mencecah 7.7 juta premis pada tahun lepas.
Dalam tempoh 2021 dan 2022, antara isu dan cabaran yang dihadapi temasuk ekosistem yang tidak menggalakkan seperti tadbir urus dan penyelarasan yang kurang berkesan, kemajuan infrastruktur digital yang tidak seimbang, kurang pembangunan bakat digital dan peluasan digital yang tidak terangkum mengakibatkan jurang ketidaksamarataan melebar.
-- BERNAMA
#RMK12 #Indeks Keterangkuman Digital #MyDID #jurang digital
;