Indeks harga seunit besi naik antara 0.4 dan 3.3 peratus pada Januari 2024 - Perangkaan
Bernama
Februari 13, 2024 14:50 MYT
Februari 13, 2024 14:50 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks harga seunit besi meningkat antara 0.4 peratus hingga 3.3 peratus bagi kebanyakan kawasan pada Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tertinggi harga seunit besi adalah di Perak (3.3 peratus) dan diikuti oleh Pahang (0.8 peratus), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Kuching (masing-masing 0.6 peratus).
Indeks harga seunit keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"(Bagaimanapun) terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-0.8 peratus), Johor (-0.3 peratus), Kota Kinabalu (-0.1 peratus) dan Sandakan (-2.2 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, peningkatan kecil direkodkan bagi Perak (0.9 peratus) dan Kuching (0.2 peratus).
Mohd Uzir berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar ubah bentuk tegangan tinggi Mycon 60 adalah RM3,664.51 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya (Disember 2023: RM3,629.77 setiap tan metrik).
"Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada Januari 2024 meningkat antara 0.1 peratus hingga 1.5 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.
"Bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Johor (kecuali tiada perubahan dalam indeks bagi kategori bangunan kayu dan cerucuk kayu).
Menurut Mohd Uzir perbandingan bulanan juga turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Januari 2024.
"Terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.8 peratus), dan Terengganu dan Kelantan (0.5 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata perbandingan tahunan untuk tempoh Januari 2023 dan Januari 2024 turut menunjukkan indeks harga seunit simen menokok antara 0.7 peratus hingga 12.0 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA