Indeks harga rumah di KL terus meningkat, kata Knight Frank

Bernama
April 20, 2017 13:22 MYT
Pembangunan berasaskan transit di sepanjang laluan LRT dan MRT dijangkakan terus meningkat ekoran perhubungan yang bertambah baik. - Gambar hiasan
Harga rumah di Kuala Lumpur terus meningkat, mencatat pertumbuhan 5.1 peratus tahun ke tahun, walaupun kedudukan pasaran hartanah lemah, kata Knight Frank dalam Laporan Indeks Kediaman Global, bagi tempoh suku keempat 2016.
Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Sarkunan Subramaniam berkata harga hartanah kediaman di kawasan utama dan terkenal di kawasan bandar raya dijangka terus mengukuh dengan peningkatan modal yang sederhana.
"Pembangunan berasaskan transit di sepanjang laluan LRT dan MRT dijangkakan terus meningkat ekoran perhubungan yang bertambah baik," katanya menerusi laporan yang dilancarkan di sini hari ini.
Knight Frank, perunding hartanah bebas global, menilai prestasi harga rumah utama di 150 bandar raya di seluruh dunia, termasuk 47 di Asia Pasifik.
Laporan itu menyebut harga rumah global meningkat pada purata 6.6 peratus pada 2016, kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun, namun, tidak termasuk bandar raya di China, dengan indeks hanya meningkat 4.9 peratus pada 2016.
Kedudukan bandar raya di China dalam 10 bandar raya utama dunia dipinggirkan apabila Wellington New Zealand mencatatkan peningkatan (23.7 peratus) berbanding Shenzhen (23.5 peratus).
Ketua Penyelidik Asia Pasifik Knight Frank Nicholas Holt berkata penguasaan bandar raya utama China dalam rangking harga 12 bulan tertinggi, telah mendorong pembuat dasar mengambil langkah 'penyejukan' pasaran, menerusi sekatan pembelian rumah serta kriteria pinjaman yang lebih ketat.
Tindakan ini serta beberapa lagi kawalan modal yang lebih ketat boleh mendorong lebih banyak modal mengalir masuk ke bandar yang lebih kecil di China, yang sebahagiannya kini mengalami lebihan bekalan yang ketara, katanya.
Menurut laporan itu, bandar raya di Australia terus menyaksikan peningkatan ketara harga, didorong oleh kadar faedah yang rendah dan kadar perbandaran yang kukuh.
Namun peningkatan harga dijangkakan menyederhana di kebanyakan pasaran ini (Australia) sepanjang 2017 ekoran kriteria pinjaman bank yang lebih ketat selain permintaan luar yang menguncup. -- BERNAMA
#harga rumah #hartanah #Knight Frank #Kuala Lumpur #rumah
;