Indeks Harga Pengguna rekod peningkatan perlahan 1.5 peratus
Nabilah Khaleeda
Disember 22, 2023 13:12 MYT
Disember 22, 2023 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) terus merekod peningkatan pada kadar perlahan 1.5 peratus pada November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 129.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, peningkatan inflasi ini didorong kenaikan perlahan bagi kumpulan restoran dan hotel (4.3 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (2.6 peratus), dan kesihatan (2.3 peratus).
"Ini diikuti peningkatan beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7 peratus) serta pengangkutan (0.1 peratus).
"Komponen makanan di rumah meningkat 1.4 peratus berbanding 2.1 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain," katanya.
Ujar Mohd Uzir, peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti dan bijirin lain sebanyak 3.1 peratus pada November 2023 disumbangkan oleh kelas perbelanjaan beras yang mencatatkan peningkatan perlahan 4.7 peratus berbanding 5.3 peratus pada Oktober 2023.
"Produk beras import dan beras wangi import masing-masing mencatatkan peningkatan 10.1 peratus dan 7.0 peratus berbanding 9.6 peratus dan 7.5 peratus pada Oktober 2023.
"Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram bagi menjaga masa depan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu.
"Sementara itu, inflasi subkumpulan susu, keju dan telur meningkat kepada 2.9 peratus pada bulan November 2023 (Oktober 2023: 3.1%).
"Kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan bagi kelas perbelanjaan susu cair/ susu pekat (1.9%), diikuti oleh susu tepung dan keluaran susu lain (4.0%) dan Telur (1.1%).
"Manakala, bagi inflasi subkumpulan buah-buahan meningkat sebanyak 2.8 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 2.6%) adalah disumbangkan oleh kenaikan kelas perbelanjaan buah-buahan segar (3.0%). Antara buah-buahan yang mencatatkan kenaikan adalah oren, pir dan tembikai," katanya.
Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mencatatkan penurunan kepada negatif 0.2 peratus pada bulan November 2023 (Oktober 2023: 2.1%) terendah sejak Ogos 2021.
Ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1 peratus dalam subkumpulan Daging mencatatkan penurunan negatif 4.6 peratus berbanding negatif 0.7 peratus pada bulan Oktober 2023.
"Purata harga Ayam standard di Malaysia menurun kepada RM9.96 sekilogram berbanding RM10.36 sekilogram pada bulan November 2022 (Oktober 2023: RM10.02).
"Seiring dengan penurunan harga di peringkat Malaysia, purata harga ayam standard Semenanjung Malaysia turut mencatatkan penurunan kepada RM9.17 sekilogram berbanding RM9.83 sekilogram pada bulan November 2022 (Oktober 2023: RM9.32).
Dalam pada itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.9 peratus berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023.
"Antara item yang meningkat lebih rendah pada November 2023 adalah Ayam goreng disebabkan oleh kesan strategi promosi oleh industri rangkaian makanan segera," tambahnya.
Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.
"Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3%), Sarawak (2.0%), Perak (1.9%), Pulau Pinang (1.8%) dan Selangor (1.7%).
"Inflasi keseluruhan secara bulanan pula menunjukkan tiada perubahan pada November 2023 berbanding Oktober 2023 (0.1%).
"Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5%) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.1%), Vietnam (3.5%), Republik Korea (3.3%) dan Indonesia (2.9%).
"Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-0.4%) dan China (-0.5%)," katanya.