Indeks Harga Pengguna: Inflasi 4.4 peratus dicatat pada Mei 2021 - Mohd Uzir
Astro Awani
Jun 25, 2021 12:00 MYT
Jun 25, 2021 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 4.4 peratus pada bulan Mei 2021 kepada 123.1 berbanding 117.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHP keseluruhan disebabkan kesan asas rendah tahun lalu yang menyaksikan peningkatan ketara terutamanya dalam kumpulan pengangkutan; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah dan makanan dan minuman bukan alkohol.
Jelasnya, berdasarkan laporan Food and Agriculture Organization (FAO), Indeks Harga Makanan global pada Mei 2021 berada pada paras 127.1, meningkat 39.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu dan 4.8 peratus berbanding April 2021.
"Kenaikan mendadak pada bulan Mei 2021 didorong oleh kenaikan indeks minyak sayuran (124.5%) ekoran daripada lonjakan permintaan terhadap biofuel.
"Ini diikuti oleh gula (57.3%), bijirin (36.6%), tenusu (28.0%) dan daging (10.0%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, peningkatan indeks bijirin adalah kesan daripada kemarau di Amerika Selatan yang menjejaskan hasil tanaman jagung dan kacang soya serta kopi dan gula. Permintaan paling tinggi oleh China memburukkan lagi tekanan bekalan bijirin dan meningkatkan kos pengeluar ternakan global.
"Keadaan ini turut dicerminkan dengan peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Namun begitu jelasnya, kenaikan tahunan pada Mei 2021 adalah lebih rendah berbanding bulan sebelumnya iaitu 1.9 peratus (April 2021).
Katanya, momentum yang perlahan adalah kesan daripada pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 sepanjang Mei yang meredakan tekanan inflasi bagi kumpulan berkenaan.
Sementara itu ujarnya, IHP bagi tempoh Januari hingga Mei 2021 menunjukkan peningkatan
2.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Bagi perbandingan bulanan, IHP adalah tidak berubah berbanding April 2021. Walaupun kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah dan pengangkutan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.3 peratus dan 0.2 peratus, namun ianya diimbangi oleh penurunan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu negatif 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya," jelasnya.
Mohd Uzir turut menjelaskan, indeks teras meningkat 0.8 peratus pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.1%); pengangkutan (0.8%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.7%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6%); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6%); kesihatan (0.6%); pendidikan (0.3%) dan restoran dan hotel (0.2%).
"Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling
tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal," ujarnya.
Sementara itu jelasnya, IHP tanpa bahan api meningkat 1.6 peratus pada Mei 2021 kepada 113.8 berbanding 112.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
"IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, RON97 dan diesel.
Jelas beliau lagi, daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 363 item menunjukkan peningkatan pada Mei 2021.
Sebaliknya tambah Mohd Uzir, 123 item mencatatkan penurunan manakala 66 item tidak berubah.
"Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 225 item, 57 item menurun dan 14 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama," katanya.
Katanya lagi, lapan negeri iaitu Terengganu (6.2%), Kelantan (5.6%), Pahang (5.1%), Kedah dan Perlis (4.8%), Negeri Sembilan (4.7%), Johor (4.6%), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.5%) dan Perak (4.5%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.4 peratus pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.
"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu iaitu pada 2.9 peratus. Ini diikuti oleh Kelantan (2.6%), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.1%), Pahang (1.9%) dan Johor (1.6%)," jelasnya.