Indeks Harga Pengeluar menurun 4.6% pada Mei 2023 - DOSM
Dagang News
Jun 27, 2023 13:15 MYT
Jun 27, 2023 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang mencatatkan penurunan -4.6% pada Mei 2023 berbanding -3% pada April 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun sebanyak -0.4%, selepas peningkatan 0.2% pada bulan sebelumnya.
Katanya, sektor perlombongan turun -2.5%, disebabkan oleh penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan petroleum mentah (-2.4%) dan pengekstrakan gas asli (-2.7%).
"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turun -0.7%, dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan -2.3%.
"Sektor pembuatan juga mencatatkan penurunan -0.2% pada Mei 2023, disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-1.2%) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-0.6%). Di samping itu, indeks bekalan air turun -0.1%, manakala indeks bekalan elektrik dan gas naik 0.6%," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut DOSM, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan terus mencatatkan penurunan negatif 27.2% pada Mei 2023 berbanding 26% pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh indeks buah tandan segar kelapa sawit yang terus jatuh kepada -42.4% berbanding -40.3% pada April 2023.
Katanya, sektor perlombongan juga mencatatkan penurunan dua angka sebanyak -10.7% berbanding 4.7% pada April 2023, dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah turun -18.1%.
"Selain itu, sektor pembuatan turun marginal kepada -1.1% berbanding 0.1% pada April 2023. Ini disebabkan oleh penurunan yang signifikan dalam indeks pembuatan produk makanan -9.6% dan dimbangi dengan kenaikan dalam indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 6.6%.
"Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik dan gas masing-masing naik 3% dan 1.2%," katanya.
Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus turun kepada -20.1% pada Mei 2023 berbanding -17.6% pada April 2023 dengan indeks bahan bukan makanan turun -24.2%.
Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menurun sebanyak -1.6% disebabkan oleh penurunan dalam indeks bahan dan komponen untuk pembuatan (-6.2%) dan bekas (-3.7%).
Sementara itu DOSM berkata, indeks barang siap naik 3% disumbangkan oleh peningkatan kelengkapan modal (3.8%) dan barangan pengguna siap (2%).
"Semua peringkat pemprosesan telah merekodkan penurunan pada asas bulanan, yang mana bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun sebanyak -0.9%, bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-0.4%) dan barangan siap (-0.2%)," katanya. - DagangNews.com