Indeks harga pengeluar Malaysia naik 1.9 peratus pada April 2024
Bernama
Mei 28, 2024 05:00 MYT
Mei 28, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, terus meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada April 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pada Mac 2024, IHPR meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun, tambahnya.
Dalam laporan bulanan terbarunya mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan untuk April 2024, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor mencatatkan peningkatan pada bulan itu, yang menyumbang kepada peningkatan indeks keseluruhan.
Beliau berkata sektor perlombongan terus melonjak 10.0 peratus, disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (12.3 peratus) dan pengekstrakan gas asli (3.5 peratus).
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat 5.4 peratus, dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan masing-masing naik sebanyak 9.2 peratus dan 2.9 peratus.
"Selain itu, sektor perkilangan mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.8 peratus disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.9 peratus).
"Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 1.0 peratus, manakala indeks bekalan air mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding 1.6 peratus pada Mac 2024.
Sektor perlombongan berkembang 2.1 peratus disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah dan pengekstrakan gas asli, manakala sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.7 peratus berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Sektor pembuatan meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan produk makanan, manakala indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat 0.3 peratus dan 1.1 peratus.
Mohd Uzir berkata, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia berlegar melebihi RM4,000 setan berikutan lonjakan harga minyak mentah, di tengah-tengah kenaikan harga minyak pesaing.
Harga tandan buah segar kelapa sawit juga terus meningkat sejak awal 2024, membawa kepada pertumbuhan positif dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, katanya.
"Indeks harga minyak mentah berada pada tahap tertinggi di seluruh dunia. Harga beberapa komoditi, terutamanya bagi sumber tenaga, mula meningkat pada penghujung Februari 2022 disebabkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine," katanya.
Mohd Uzir berkata ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah melonjakkan harga komoditi utama seperti minyak dan emas.
Menurut Tinjauan Pasaran Komoditi pada April 2024, harga komoditi diunjurkan menjadi sederhana sedikit pada 2024 dan 2025, dan dijangka kekal di atas paras prapandemik.
Risiko utama kepada unjuran harga komoditi berkaitan dengan kemungkinan konflik yang meningkat di Timur Tengah, yang boleh mengakibatkan harga minyak yang lebih tinggi dan mencetuskan semula tekanan inflasi global, tambahnya.
-- BERNAMA