Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 0.3 peratus pada Februari - DOSM
Bernama
Mac 27, 2024 16:10 MYT
Mac 27, 2024 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 0.3 peratus pada Februari 2024 daripada negatif 0.6 peratus pada Januari 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 6.0 peratus (Januari 2024: 3.2 peratus), disumbangkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (8.1 peratus), perikanan (7.5 peratus) dan pengeluaran ternakan (4.3 peratus).
"Pada masa yang sama, sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 5.3 peratus (Januari 2024: -1.3 peratus) dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah mencatatkan peningkatan 7.9 peratus.
"Indeks bekalan air meningkat 3.6 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 0.6 peratus) selaras dengan kenaikan tarif air di seluruh negara bermula pada 1 Feb, 2024. Sektor bekalan elektrik dan gas juga meningkat perlahan 0.1 peratus pada bulan ini (Januari 2024: -0.8 peratus)," katanya dalam kenyataan mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan, Malaysia Februari 2024 yang dikeluarkan pada Rabu.
Beliau berkata sektor pembuatan terus menurun negatif 0.7 peratus (Januari 2024: -0.9 peratus) disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-12.6 peratus) dan pembuatan produk makanan (-3.3 peratus).
""Pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.7 peratus selepas penurunan 0.1 peratus pada bulan lepas. Sektor pembuatan kekal tidak berubah, manakala semua sektor lain mencatatkan kenaikan pada bulan ini.
"Sektor perlombongan naik 5.7 peratus dengan peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.8 peratus) dan pengekstrakan gas asli (5.2 peratus). Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.6 peratus disebabkan oleh penanaman tanaman kekal (4.3 peratus) dan perikanan (3.7 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata bagi sektor utiliti, kedua-dua bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 0.9 peratus dan 2.7 peratus pada Februari 2024.
Mengulas mengenai IHPR mengikut peringkat pemprosesan, beliau berkata indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 5.6 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.3 peratus), dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan peningkatan 6.0 peratus.
"Indeks barang siap juga meningkat 1.1 peratus (Januari 2024: 0.5 peratus), disebabkan oleh peningkatan indeks kelengkapan modal (2.9 peratus).
"Walau bagaimanapun, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen terus turun negatif 1.7 peratus (Januari 2024: -2.0 peratus) disebabkan oleh indeks bahan api yang diproses dan pelincir (-12.9 peratus) serta bahan dan komponen untuk pembuatan (-0.5 peratus)," katanya.
Pada asas bulanan, semua indeks menunjukkan peningkatan pada bulan ini dengan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 2.7 peratus, manakala indeks barang siap dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen masing-masing meningkat sebanyak 0.7 peratus dan 0.1 peratus.
-- BERNAMA