Import minyak sawit India pada Januari terendah dalam tempoh 13 tahun

Bernama
Februari 12, 2025 20:38 MYT
Menurut data Persatuan Pengekstrak Pelarut India pada Rabu, import minyak sawit India berjumlah 275,000 tan pada bulan lepas. - Gambar hiasan/Bernama
NEW DELHI: India mengimport sebanyak 90,307 tan minyak sawit dari Malaysia pada Januari 2025, menandakan jumlah import terendah negara itu bagi komoditi tersebut dalam tempoh 13 tahun.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut India pada Rabu, import minyak sawit India berjumlah 275,000 tan pada bulan lepas.
Jumlah itu termasuk 85,307 tan minyak sawit mentah (MSM), 1,500 tan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan 3,500 tan minyak isirung sawit mentah dari Malaysia.
Kumpulan industri itu berkata langkah mengawal bekalan minyak sawit Malaysia mendorong pengguna beralih kepada minyak soya yang lebih murah.
Pada Januari 2024, negara itu mengimport sebanyak 780,000 tan minyak sawit.
Jumlah minyak makan India menyusut kepada kira-kira satu juta tan berbanding 1.18 juta tan pada Disember 2024.
-- BERNAMA
#India #import #minyak sawit #Malaysia
;