Import kenderaan China ke AS catat rekod tertinggi Januari-Oktober

Bernama
Disember 12, 2024 08:30 MYT
Kereta baharu menunggu untuk diangkut berhampiran sebuah kapal ro-ro Sallaum Lines yang berlabuh di limbungan, di Yantai, wilayah Shandong, timur China, 6 Ogos 2024. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Eksport kereta penumpang dari China ke Amerika Syarikat (AS) mencatat rekod tertinggi sebanyak US$2.9 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama 2024, menurut pengiraan RIA Novosti berdasarkan statistik AS.
Pada Januari-Oktober, AS membeli kenderaan dari China bernilai US$2.89 bilion - peningkatan tahunan sebanyak 1.5 kali ganda. Angka ini merupakan yang tertinggi sejak rekod bermula pada 1992.
Import AS pada Oktober meningkat 1.4 kali ganda berbanding bulan sebelumnya kepada US$398.6 juta, angka tertinggi sejak Ogos.
Kenderaan dengan kapasiti enjin antara 1,500 hingga 3,000 sentimeter padu (US$1.45 bilion), kereta golf, motoski salji dan kenderaan seumpamanya (US$839.3 juta), serta kenderaan hibrid (US$371.2 juta) adalah yang paling mendapat permintaan di AS.
AS juga meningkatkan import kenderaan untuk pengangkutan lebih 10 orang kepada US$26 juta, 10 kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, termasuk bas elektrik. Pembelian traktor dari China juga meningkat dua kali ganda kepada hampir US$42 juta.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #kenderaan dari China #import #eksport
;