Impak COVID-19: PNB mempelbagai pelaburan, pengembangan antarabangsa

Harits Asyraf Hasnan
Mei 21, 2020 11:36 MYT
Menurut Jalil Rasheed, aktiviti itu termasuk pengembangan dalam pasaran awam (ekuiti dan bon), pasaran persendirian (ekuiti swasta, hutang swasta dan infrastruktur) selain hartanah dan pelaburan strategik. - Foto fail
Pemodalan Nasional Bhd (PNB) terus mempelbagai dan mengembangkan pelaburannya termasuk di peringkat antarabangsa seiring memaksimumkan pulangan kepada pemegang unit.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Jalil Rasheed berkata, aktiviti itu termasuk pengembangan dalam pasaran awam (ekuiti dan bon), pasaran persendirian (ekuiti swasta, hutang swasta dan infrastruktur) selain hartanah dan pelaburan strategik.
“Apabila keadaan pasaran saham kurang memberangsangkan seperti ketika ini, pastinya prestasi akan terjejas.
“Oleh sebab itu kita telah mula proses mempelbagaikan pelaburan, melabur lebih banyak aset di luar negara dan dalam aset yang berbeza juga.
“Bukan dalam pasaran ekuiti sahaja ia termasuk pasaran bon, hartanah, ekuiti swasta. Ini untuk meluaskan risiko. Jadi, pelaburan kita bukan di Malaysia sahaja,” ujarnya ketika ditemui Astro AWANI, di sini hari ini.
Beliau mengulas persolan para pemegang unit yang melihat secara realisitik pasaran saham tempatan yang masih terus mencatatkan aliran negatif tahun ini di mana ASB melabur kira-kira 70 peratus dananya dalam pasaran ekuiti.
Mengakui COVID-19 memberi impak besar kepada pasaran saham semasa, Jalil optimis pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh baki enam bulan ini.
“Soal pulangan, ekspetasinya perlu realistik sebab keadaan yang kita lalui ini bukan unik kepada Malaysia sahaja, sebaliknya seluruh dunia.
“Semua pasaran melemah. Jadi kita berada dalam situasi yang sama. Jadi saya fikir jangkaan itu perlu lebih realistik.
“Namun, kita ada masa lagi sehingga hujung tahun. Banyak perkara boleh berubah dalam masa itu.
“Dalam masa penghujung tahun, baru kita dapat memberikan jawapan yang ‘bernas’ sikit berkenaan pulangan kita. Ia masih awal dan banyak ketidaktentuan,” ujarnya.
#Amanah Saham Bumiputera #ASB #ASNB #COVID-19 #jalil rasheed #koronavirus #pasaran saham #pelaburan #Pemodalan Nasional Bhd #PNB #saham
;