Impak COVID-19 lebih teruk berbanding perang dagang AS-China - Muhyiddin

Harits Asyraf Hasnan
November 21, 2020 08:00 MYT
Perdana MenteriTan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC yang diadakan secara maya buat pertama kalinya disebabkan pandemik COVID-19. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Impak COVID-19 terhadap ekonomi jauh lebih besar berbanding perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata krisis kesihatan dan impaknya kepada ekosistem ekonomi global merupakan agenda utama kepada semua ekonomi APEC pada tahun ini.
"Impak yang begitu besar dalam kalangan ekonomi susulan pandemik ini boleh menyebabkan pembangunan serantau menguncup 2.7 peratus tahun ini, berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada 2019.
"Ini menjadikan ia penguncupan yang hampir sama dengan yang dicatatkan pada 2009 sewaktu krisis kewangan global," katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020 yang turut diadakan secara maya dengan dihadiri oleh semua pemimpin dan wakil 21 anggota ekonomi.
Jelas beliau lagi, para pemimpin turut menegaskan berkenaan kepentingan perkongsian dan kerjasama awam-swasta di rantau ini.
#Muhyiddin Yassin #COVID-19 #pandemik #Amerika Syarikat #China #perang dagang #APEC 2020 #MyAPEC2020 #ekonomi #kesihatan
;