Impak banjir: Keluaran ekonomi dianggar berkurang antara RM4 bilion - RM8 bilion

Hasimi Muhamad
Januari 20, 2022 12:40 MYT
Zafrul berkata bencana itu turut memberi impak kepada aktiviti ekonomi khususnya di kawasan yang terkesan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengeluaran sektor ekonomi negara dianggarkan berkurang antara RM4 bilion hingga RM8 bilion berikutan bencana banjir yang melanda negara pada Disember lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bencana itu turut memberi impak kepada aktiviti ekonomi khususnya di kawasan yang terkesan.
"Walau bagaimanapun, mengambil kira indikator utama yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan, bagi keseluruhan tahun 2021, unjuran pertumbuhan KDNK negara kekal antara tiga hingga empat peratus.
"Yang lebih utama ialah, momentum pemulihan tersebut dijangka berterusan sepanjang tahun ini, iaitu ekonomi kita dijangka akan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus, sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang masing masing menyasarkan pertumbuhan 6 dan 5.8 peratus untuk Malaysia.
"Pemacu utama pertumbuhan Malaysia termasuklah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial susulan peralihan seluruh negara ke Fasa Keempat PPN," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Penerangan berkenaan Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggnl Keempat di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan ketahanan negara dari ancaman bencana melalui sudut yang lebih holistik, iaitu lebih kepada pencegahan, dan bukan pemulihan.
Katanya, tumpuan untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang ke arah mengurangkan kesan serta kemusnahan ditanggung akibat banjir atau apa-apa bencana akan diberi keutamaan.
"Selain itu, kita juga harus akui bahawa antara punca lain yang menyebabkan bencana alam adalah kerana fenomena perubahan iklim dan pembangunan yang tidak lestari," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata Kementerian Kewangan telahpun membangunkan sebuah portal iaitu bantuanbanjir.com bagi memudahkan semua untuk mengetahui segala maklumat dan kriteria berhubung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.
Ujarnya lagi, kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan segala bentuk bantuan dan kemudahan dapat disalurkan dengan segera dan diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung semua mangsa banjir ketika ini.
#Dewan Rakyat #Banjir 2021 #Tengku Zafrul #bantuan banjir
;