IKMa fokus laksana agenda pendigitalan kepada koperasi
Bernama
Mei 29, 2024 22:15 MYT
Mei 29, 2024 22:15 MYT
PUTRAJAYA: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) memberi tumpuan agenda pendigitalan kepada koperasi supaya keupayaannya dipertingkat sekali gus menjadi medan baharu pembangunan ekonomi negara.
Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor berkata beberapa program kini dirangka bagi membolehkan aspek digitalisasi diterapkan oleh koperasi selaras Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030.
"Pada tahun ini, kita akan latih 50 koperasi supaya mereka dapat membuat satu perubahan dari segi pendigitalan. Ini akan beri ruang koperasi tingkat keupayaan yang menjadi sasaran kita dalam perolehan koperasi masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Koperasi Antarabangsa 2024 (ICC 2024) di sini hari ini yang dilancarkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.
Ditanya cabaran dalam proses pendigitalan koperasi, Mohd Ali berkata antaranya adalah kekurangan generasi muda serta kewujudan koperasi yang tidak aktif dan berstatus dorman.
"Kita hadapi masalah suntikan generasi muda, namun kita ada pelan untuk memperkasakan penglibatan mereka, selain itu kita ada masalah dalam keaktifan koperasi.
"Hampir 50 peratus daripada kira-kira 16,000 koperasi adalah tidak aktif dan usaha sedang dibuat untuk pastikan koperasi berdaftar terus bergerak," katanya.
Mohd Ali berkata IKMa bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan berusaha mempertingkatkan gerakan koperasi di negara ini supaya lebih aktif dan berdaya saing.
IKMa juga sentiasa bertemu ahli lembaga pengarah koperasi bagi memberi kefahaman mengenai pengurusan asas koperasi dan memberikan kursus berkaitan kepada pengurusan, menurutnya.
Mengenai ICC 2024, beliau berkata persidangan berkenaan adalah platform baharu diperkenalkan IKMa bertujuan memperluaskan dan mengantarabangsakan sektor koperasi di negara ini.
"Persidangan ini kami rangka dua tahun sekali supaya ia diletak dalam jadual persidangan International Cooperative Alliance (ICA) dan selepas ini kita harap penyertaan lebih besar (dari negara luar).
"Tujuan persidangan ini adalah supaya koperasi di Malaysia dapat manfaat dengan kerjasama di peringkat antarabangsa," katanya.
ICC 2024 anjuran IKMa hari ini dihadiri 178 perwakilan daripada pelbagai negara antaranya Korea, Thailand, Filipina, Australia, Brunei, Indonesia dan India.
IKMa merupakan sebuah institusi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ditugas memajukan sektor koperasi melalui latihan, penyelidikan dan pembangunan.
-- BERNAMA