Iklim ekonomi negara yang semakin baik adalah jaminan masa depan golongan muda - Tengku Zafrul

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 6, 2022 12:30 MYT
Tengku Zafrul berucap ketika merasmikan pembukaan majlis Malaysian Student Leaders Summit (MSLS) XVI 2022 di ibu negara hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Iklim ekonomi negara yang semakin baik memberi jaminan masa depan yang lebih sempurna kepada golongan muda.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan kebimbangan golongan muda tentang masa depan mereka ketika negara berhadapan dengan pandemik sedikit masa lalu kini semakin pulih.
Jelasnya peranan golongan muda dalam pembangunan masa depan negara yang lebih baik adalah amat penting dan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam mengimbangi keperluan mereka.
“Bagi kerajaan apa yang penting adalah mereka perlu mempunyai kemahiran yang betul. Program Jamin Kerja misalnya RM4.8 bilion yang kebanyakkannya fokus kepada orang muda.
“Banyak inisiatif-inisiatif yang kita umumkan baru-baru ini fokusnya orang muda kerana orang muda harapan bangsa kita. Kebimbangan orang muda yang kita bincangkan hari ini adalah dari segi pekerjaan," jelasnya ketika ditemui media selepas hadir pada majlis Malaysian Student Leaders’ Summit (MSLS) XVI 2022 di sini hari ini.
Tambahnya golongan muda di negara ini ketika ini lebih banyak menantikan pertumbuhan industri-industri baharu yang berkembang di peringkat global akan mampu bertapak di negara ini seterusnya membolehkan mereka mampu melibatkan diri dalam bidang yang mereka impikan.
Sebahagian mereka jelasnya mengakui ada kebimbangan apabila melihat perkembangan ekonomi dunia yang agak perlahan akan mempengaruhi dan memberi kesan yang besar kepada ekonomi Malaysia.
Bagaimanapun jelas Tengku Zafrul, ekonomi negara ketika ini berada pada landasan yang lebih baik malah semakin positif dalam mencapai sasaran lebih enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
“Apa yang lebih penting KDNK yang lebih kukuh ini mampu menjana pekerjaan untuk golongan-golongan muda kita.
“Kita telah umumkan KDNK suku pertama lima peratus. KDNK suku kedua pada pertengahan bulan Ogos, lagi satu minggu. Insyallah juga menunjukkan pertumbuhan yang kukuh,” katanya lagi.
Kerajaan ketika ini tambahnya sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada industri-industri dan segmen-segmen masyarakat yang masih lagi terkesan ataupun baru sahaja bangkit selepas terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda sedikit masa lalu.
#KDNK #pandemik #zafrul #ekonomi
;