IKEA buka cawangan ketiga di Tebrau Johor
Astro Awani
September 15, 2016 16:30 MYT
September 15, 2016 16:30 MYT
Syarikat kelengkapan rumah Sweden, IKEA memperluaskan lagi rangkaiannya di Malaysia dengan pembukaan cawangan ketiganya di Johor Bahru.
Gedung berkeluasan 46,713 meter persegi itu melibatkan kos pembinaan sebanyak RM592 juta ringgit.
Menurut Pengarah Urusan Ikea Asia Tenggara, Christian Rojkjaer, pihaknya mensasarkan pasaran 1.8 juta penduduk yang menetap dalam lingkungan 60 minit pemanduan dari lokasi cawangan tersebut di jalan Desa Tebrau.
“Siapa tidak mahukan kejayaan di JB, pembangunan yang bagus, pembangunan ekonomi, pembangunan masyarakat, usaha Iskandar dan infrastruktur,” kata Rojkjaer, sewaktu perasmian pecah tanah pembinaan gedung IKEA Tebrau, yang pertama di Selatan Malaysia, di Taman Desa Tebrau di sini hari ini.
Rojkjaer menambah, pembukaan cawangan itu juga dijangka menjana 300 pekerjaan tetap di Johor serta ribuan lagi di dalam perkhidmatan tempatan dan pembekalan di seluruh negara.
Malah pihaknya sedang dalam proses pengambilan dan latihan pekerja cawangan tersebut.
Sementara itu Ketua Eksekutif pihak berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim , cawangan IKEA di Johor Bahru itu juga boleh mendorong pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri selatan tanah air itu.
Cawangan terbaru IKEA itu dijangka dibuka pada akhir 2017.