IILM terbitkan semula sukuk jangka pendek US$740 juta

Bernama
April 4, 2023 04:45 MYT
IILM adalah penerbit tetap untuk sukuk jangka pendek dalam pelbagai tempoh dan jumlah untuk memenuhi keperluan mudah tunai institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam. - Gambar IILM
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) berjaya menerbitkan semula sukuk jangka pendek berjumlah US$740 juta (US$1=RM4.40) dengan tempoh satu, tiga dan enam bulan.
Menurut IILM, ketiga-tiga siri itu pada harga kompetitif sebanyak 4.80 peratus untuk US$200 juta (tempoh satu bulan); lima peratus untuk US$320 juta (tempoh tiga bulan) dan lima peratus untuk US$220 juta (tempoh enam bulan).
Terbitan semula sukuk semalam sebagai lelongan keempat pada tahun ini, menerima permintaan kukuh daripada kedua-dua peniaga utama dan pelabur dengan gabungan nilai perolehan kontrak sebanyak US$1.7 bilion, mewakili purata nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 231 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Umar Oseni berkata organisasi itu berpuas hati dengan berakhirnya urus niaga yang berjaya semalam yang menyaksikan nisbah perlindungan yang baik untuk kesemua tempoh.
"Walaupun persekitaran pasaran global tidak menentu yang ditambah pula dengan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan untuk kali kesembilan berturut-turut dalam tempoh dua minggu, instrumen mudah tunai patuh Syariah rentas sempadan jangka pendek kami terus mendapat permintaan dalam kalangan pelabur global industri perkhidmatan kewangan Islam," katanya dalam kenyataan semalam.
"Lanjutan daripada terbitan semula hari ini, IILM telah mencapai terbitan semula kumulatif setakat ini berjumlah US$3.53 bilion menerusi 12 siri sukuk.
"Organisasi ini akan terus menerbitkan semula instrumen mudah tunai jangka pendeknya setiap bulan seperti yang dijadualkan dalam kalendar terbitannya," katanya.
IILM adalah penerbit tetap untuk sukuk jangka pendek dalam pelbagai tempoh dan jumlah untuk memenuhi keperluan mudah tunai institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.
Jumlah terkumpul sukuk IILM kini sebanyak US$3.51 bilion.
-- BERNAMA
#IILM #perkhidmatan kewangan Islam #sukuk jangka pendek #perolehan kontrak
;