IIB anjurkan Forum Nikkei Asia 2025 di Medini
Astro Awani
November 28, 2024 18:00 MYT
November 28, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Iskandar Investment Berhad akan menganjurkan forum perniagaan di Medini, bersama Nikkei Inc., salah satu organisasi media terkemuka Jepun dan penganjur Forum Nikkei serta Dialog Pengurusan Global Nikkei, pada Jun depan.
Acara itu dijangka akan menarik penyertaan lebih 500 bakal pelabur dan tokoh penting dari Jepun dan Asia Tenggara untuk membincangkan isu-isu kritikal dalam ekonomi digital, teknologi, inovasi, kemampanan dan masa depan pasaran Asia.
Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani di Tokyo di antara Nikkei Inc, Nikkei Business Publication (Nikkei BP) dan Iskandar Investment Berhad (IIB) yang memeterai usaha sama mereka dalam membawa Forum Nikkei ke Medini Johor pada 2025.
"Nikkei Forum Medini, Johor 2025 memberikan peluang unik kepada Medini dan Johor untuk mempamerkan potensi pelaburan dinamik kami di pentas global.
“Seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam Belanjawan Johor 2025 baru-baru ini, forum ini mencerminkan kerjasama kukuh antara negeri Johor, IIB, dan Nikkei Inc.
"Tatkala kami terus memacu inovasi dan kemampanan dalam rantau ini, kami berharap dapat memupuk perkongsian dan kerjasama berharga yang akan membentuk masa depan ekonomi digital di Medini, pintu gerbang ke pasaran Asia.
“Forum ini akan menjadi penanda aras penting dalam meletakkan Johor sebagai Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) terkemuka bagi pelaburan dan pembangunan perniagaan di pasaran Asia," kata Datuk Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB.
Nikkei Forum Medini, Johor 2025 akan memberi tumpuan kepada trend dan inovasi digital terkini terutamanya dalam bidang transformasi digital, perkhidmatan perniagaan global, pendidikan, dan pembangunan bakat.
Perbincangan juga akan tertumpu kepada cabaran dan peluang yang muncul disebabkan perkembangan pesat ekonomi digital, menawarkan pemahaman dalam bidang seperti kemampanan, pembangunan bandar pintar dan zon ekonomi khas.
Di samping berperanan sebagai platform bagi perkongsian ilmu dan rangkaian, forum ini juga akan menyerlahkan potensi pelaburan Johor yang semakin meningkat, dengan tumpuan khusus kepada Iskandar Puteri.