IHPR merudum, Muhyiddin dakwa Kerajaan acuh tak acuh urus ekonomi rakyat
Firdaus Azil
Februari 1, 2024 15:20 MYT
Februari 1, 2024 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Aliran negatif Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) pada kadar 1.3 peratus Disember 2023, berpotensi menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, selain memberi kesan kepada pengeluar, ia juga akan menambahkan beban hidup rakyat daripada aspek tabungan, dan pengurangan simpanan individu oleh kerana sumber pendapatannya terjejas.
Sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, bekas Perdana Menteri itu berkata, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja.
“Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.
“Saya khuatir dalam keadaan para pengguna yang sudah pun terbeban dengan segala bentuk kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan, tarif elektrik, beberapa jenis cukai perkhidmatan, tambang bas sekolah serta ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, realiti ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, IHPR yang mengukur harga barangan di pintu kilang, menurun kepada negatif 1.3 peratus pada Disember 2023, berbanding negatif 1.5 peratus pada November 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, penurunan itu disebabkan oleh sektor perlombongan yang menurun sebanyak negatif 3.4 peratus (November 2023: -4.7 peratus), disebabkan oleh penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-7.8 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-1.9 peratus).
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, situasi tersebut telah menjejaskan golongan pengguna dan peniaga yang pada masa ini sudah dihimpit dan dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup
“Kerajaan seperti acuh tak acuh dalam menangani apa yang sedang berlaku sekarang. Selepas lebih setahun, masalah ini terus berlaku dan berlarutan tanpa ada tindakan konkrit yang boleh meredakan keresahan rakyat.
“Aliran negatif IHPR ini merupakan salah satu bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat. Jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sebegini, saya khuatir Malaysia akan terjerumus dalam kancah ekonomi yang lebih buruk,” katanya lagi.