IHPR Malaysia naik 10.6 peratus pada April

Bernama
Mei 31, 2021 12:40 MYT
Mohd Uzir berkata, IHPR bagi barang siap yang berkaitan dengan produk makanan mencatatkan kenaikan sebanyak 3.8 peratus. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) untuk pengeluaran tempatan terus meningkat dengan pertumbuhan sebanyak 10.6 peratus pada April 2021, 3.9 mata lebih tinggi daripada 6.7 peratus yang dicatatkan pada Mac, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ini didorong oleh indeks perlombongan yang melonjak 92.4 peratus berbanding 32.0 peratus pada bulan sebelumnya, berikutan kesan asas yang rendah dan kenaikan berterusan harga komoditi dan bahan mentah akibat pemulihan permintaan global dan pelbagai kekangan penawaran.
"Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan terus meningkat 49.8 peratus berbanding 41.1 peratus pada bulan sebelumnya.
"Seterusnya, indeks pembuatan dan bekalan air mencatatkan kenaikan, masing-masing 3.5 peratus dan 1.2 peratus," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya indeks bekalan elektrik dan gas turun 0.8 peratus.
Bagi perbandingan bulanan, Mohd Uzir berkata IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan kenaikan marginal 0.8 peratus pada April 2021 berbanding 0.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
"Semua sektor menunjukkan momentum pertumbuhan; pertanian, perhutanan dan perikanan (2.8 peratus), perlombongan (1.2 peratus), bekalan air (0.6 peratus), pembuatan (0.5 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (0.3 peratus)," katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan IHPR pengeluaran tempatan tahun ke tahun mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya melonjak kepada 55.8 peratus pada April 2021 berbanding 31.8 peratus dicatatkan pada Mac 2021 manakala indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 4.8 peratus.
Bagaimanapun, indeks barang siap mencatatkan negatif 0.7 peratus disebabkan harga semikonduktor yang lebih rendah yang berkaitan dengan komponen elektrik dan elektronik serta kenderaan bermotor.
Sementara itu, katanya barang siap yang berkaitan dengan produk makanan mencatatkan kenaikan sebanyak 3.8 peratus.
-- BERNAMA
#IHPR #Indeks Harga Pengeluar #Jabatan Perangkaan #Mohd Uzir Mahidin
;