IHP tempatan naik 10.8 peratus bagi Februari 2017

Bernama
Mac 31, 2017 15:13 MYT
Bagaimanapun menurut Jabatan Perangkaan, indeks bagi bekalan air mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus. - Gambar fail
Indeks Harga Pengeluar (IHP) Malaysia bagi Februari 2017 naik sebanyak 10.8 peratus kepada 110.4 berbanding 99.6 dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan.
Menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini, kenaikan tertinggi dicatatkan oleh indeks perlombongan (+35.7 peratus) diikuti pertanian, perhutanan dan perikanan (+29.3 peratus), pembuatan (+7.4 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (+3.0 peratus).
Bagaimanapun, katanya, indeks bagi bekalan air mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus.
"Secara bulanan, IHP pengeluaran tempatan naik sebanyak 0.7 peratus pada Februari 2017 disebabkan peningkatan dua sektor, iaitu pembuatan (+1.1 peratus), serta pertanian, perhutanan dan perikanan (+0.2 peratus).
"Sementara itu, perlombongan turun 0.9 peratus, diikuti bekalan air (-0.2 peratus) dan bekalan elektrik dan gas (-0.1 peratus).
Menurut jabatan itu, IHP pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan naik 0.7 peratus pada Februari 2017 berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan itu disebabkan kenaikan dalam indeks bagi bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+1.3 peratus), barang siap (+0.4 peratus) dan bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+0.1 peratus).
Berbanding bulan sama setahun lalu, IHP pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan bagi Februari 2017 naik 10.8 peratus susulan kenaikan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+37.7 peratus), bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+7.6 peratus) serta barang siap (+0.8 peratus). -- Bernama
#IHP #Indeks Harga Pengeluar #Jabatan Perangkaan
;