IHP Malaysia susut kepada 3.7 peratus pada Januari 2023 - Jabatan Perangkaan
Bernama
Februari 24, 2023 15:05 MYT
Februari 24, 2023 15:05 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna Januari 2023 mereda kepada 3.7 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022 dengan mata indeks mencatatkan 129.5 berbanding 124.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, peningkatan perlahan yang dicatatkan sejak Oktober 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan inflasi di Malaysia pada Januari 2023 disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel (6.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (6.7 peratus) dan Pengangkutan (4.0 peratus).
."Ini diikuti oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.7 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus) dan kesihatan (1.6 peratus) manakala perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.5 peratus dan 1.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kedua-dua minuman alkohol dan tembakau dan pakaian dan kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.5 peratus berbanding Januari 2022.
"Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding Disember 2022," katanya.
Mohd Uzir berkata, peningkatan kumpulan ini terutamanya disebabkan oleh komponen makanan di luar rumah yang menyederhana kepada 9.3 peratus berbanding 9.6 peratus pada Disember 2022, manakala makanan di rumah meningkat 5.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
"Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 bermula pada 15 hingga 29 Januari 2023 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah meredakan inflasi kumpulan ini dari terus meningkat," katanya.
Beliau berkata, kesemua subkumpulan makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 9.1 peratus manakala subkumpulan daging mencatatkan peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding Januari 2022, diikuti susu, keju & telur (7.0 peratus); beras, roti dan bijirin lain (6.7 peratus) dan buah-buahan (4.4 peratus).
Selain itu, Mohd Uzir berkata, subkumpulan sayur-sayuran turut mencatatkan peningkatan kepada 1.0 peratus berbanding 0.9 peratus pada Disember 2022, namun pada asas bulanan, subkumpulan ini mencatatkan peningkatan sederhana 0.7 peratus berbanding 1.7 peratus pada Disember 2022.
Sementara itu, inflasi pengangkutan mencatatkan peningkatan lebih perlahan kepada 4.0 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022 (4.9 peratus) disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
"Bagi perbandingan tahun ke tahun, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 mereda kepada 9.5 peratus pada RM3.35 seliter berbanding 20.0 peratus yang direkodkan pada Disember 2022," katanya.
Menurutnya, peningkatan sederhana ini adalah kesan daripada penurunan harga minyak mentah Brent (-2.9 peratus) kepada US$S83.09 setong pada Januari 2023.
Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri, Ketua Perangkawan berkata lima negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.7 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (5.9 peratus), Sarawak (4.3 peratus), Selangor (4.2 peratus), Johor (3.8 peratus) dan Pahang (3.8 peratus).
Bagaimanapun, Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2 peratus
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 6.7 peratus pada Januari 2023.
Beliau berkata inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.5 peratus daripada 125.8 pada Januari 2022 kepada 130.2 pada Januari 2023, manakala inflasi bagi restoran dan hotel juga meningkat 7.3 peratus.
Mengenai inflasi teras, Mohd Uzir berkata ia mencatatkan peningkatan lebih perlahan 3.9 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai inflasi negara lain, beliau berkata, kadar inflasi Zon Euro mereda kepada 8.5 peratus pada Januari 2023 daripada 9.2 peratus pada bulan sebelumnya yang mana peningkatan perlahan ini didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 17.2 peratus.
"Kadar inflasi di Amerika Syarikat turut mereda kepada 6.4 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022 pada 6.5 peratus.
"Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (3.7 peratus) adalah lebih rendah berbanding Filipina (8.7 peratus), Indonesia (5.3 peratus), Republik Korea (5.2 peratus) dan Thailand (5.0 peratus)," katanya.
-- BERNAMA
#Indeks Harga Pengguna
#Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
#Mohd Uzir Mahidin
#Jabatan Perangkaan Malaysia