IHP 2023 diunjurkan pada 3.0 peratus, status quo harga petrol dan diesel kekal - Penganalisis
Bernama
Ogos 25, 2023 05:45 MYT
Ogos 25, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: MIDF Research mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada kadar 3.0 peratus untuk 2023, walaupun data terkini bagi Julai menyatakan IHP menurun kepada 2.0 peratus.
Dalam nota penyelidikannya pada Jumaat, firma penyelidikan itu berkata, purata inflasi makanan ialah 6.0 peratus tahun ke tahun (yoy) bagi tempoh Januari-Julai 2023, lebih tinggi berbanding 5.7 peratus yang dicatatkan bagi tempoh yang sama setahun lalu.
"Kami menganggarkan inflasi makanan kekal pada julat di antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus pada separuh kedua 2023 disebabkan persekitaran luaran yang mencabar, terutamanya untuk output pertanian global.
"Selain itu, susut nilai ringgit yang berpanjangan juga akan membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi - terutamanya menerusi harga makanan memandangkan Malaysia adalah pengimport bersih kebanyakan produk makanan," katanya.
Inflasi bukan makanan dijangka berpurata pada kadar 1.5 peratus. Firma penyelidikan yakin bahawa kerajaan akan mengekalkan status quo harga bahan api runcit, sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun.
"Memandangkan keadaan kedua-dua komponen IHP itu, kami menjangkakan kadar inflasi utama Malaysia pada purata 3.0 peratus untuk 2023," katanya.
Sementara itu, AmBank Economic Research berkata, pada ketika ini, ia tidak menjangkakan sebarang perubahan signifikan pada harga petrol dengan RON95 kekal RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter untuk sepanjang tahun ini.
IHP utama telah meningkat sebanyak 0.1 - 0.2 peratus bulan ke bulan pada tahun ini, iaitu sederhana berbanding peningkatan 0.1 dan 0.6 peratus tahun lepas, kata firma penyelidikan itu.
"Inflasi utama akan berkadar di antara 2.7 peratus dan 3.2 peratus tahun ini. Kami menjangkakan inflasi teras sekitar 3.0 peratus," katanya.
Firma penyelidikan itu juga berkata ketidaktentuan yang berlarutan mengenai inflasi dan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka berterusan sehingga 2024.
"Imbangan risiko terarah kepada menaik untuk inflasi. Peserta pasaran akan memerhati dengan teliti komunikasi mengenai rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan model gaji progresif," katanya.
Ekonomi Malaysia berkembang 4.3 peratus pada separuh pertama 2023, sebahagian besarnya disebabkan oleh penguncupan eksport dan jika pertumbuhan pada separuh kedua 2023 di bawah 3.7 peratus, ia membayangkan pertumbuhan KDNK setahun penuh kurang daripada 4.0 peratus.
"Dalam konteks ini, kami berpendapat dasar monetari akan kekal akomodatif untuk menyokong permintaan domestik memandangkan ketidaktentuan luaran. Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dijangka bermesyuarat pada 6-7 Sept dan 1-2 Nov, 2023, dan kami menjangkakan OPR kekal pada 3.0 peratus pada mesyuarat ini," katanya. - BERNAMA