IHH sasar capai sifar bersih karbon menjelang 2050 dalam semua operasinya
Dagang News
September 20, 2022 07:45 MYT
September 20, 2022 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: IHH Healthcare Bhd. komited untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050 merentasi semua operasinya mulai 2025 dan tahun-tahun berikut berasaskan kepada garis dasar 2022.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kelvin Loh berkata, adalah tepat pada masanya sebagai sebahagian daripada ulang tahun ke-10 penyenaraian IHH, kumpulan mendedahkan Matlamat Kemampanan yang komprehensif dengan sasaran berasaskan sains dan hala tuju yang jelas untuk mencapainya.
"Sebagai pemain penjagaan kesihatan utama, kami mempunyai tanggungjawab untuk 'Care. For Good', iaitu, untuk membina masa depan yang mampan untuk kakitangan, pesakit, orang awam dan planet.
"Oleh itu, kami komited untuk menerajui industri kami dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dan rakan kongsi untuk memastikan kami melaksanakan aspirasi ini," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Selasa.
Sejajar dengan Matlamat Kemampanan IHH, kumpulan pada masa sama menjalankan program utama selaras dengan setiap empat tunjang pemegang kepentingannya.
Bagi menangani inflasi dalam perubatan, kumpulan itu memperluaskan inisiatif hasil dipacu nilai (VDO) di peringkat global, sehingga ke semua pasaran tempatan (Malaysia, Singapura, Turki dan India) telah mengambil bahagian, bersama-sama dengan operasi Brunei dan Hong Kong.
Inisiatif VDO akan dilancarkan ke semua operasi global yang lain manakala penerokaan utamanya merentasi semua 10 pasaran akan melaksanakan VDO menjelang 2025.
Kumpulan telah menetapkan sasaran untuk mencapai 90 peratus hasil VDO pada atau melebihi penanda aras antarabangsa menjelang 2025.
Selain itu, IHH juga akan mengurangkan beban penyakit di rantau operasi kumpulan dan menyediakan rawatan kanser percuma kepada pesat yang kurang berkemampuan. - DagangNews.com