IHH cadang ambil alih syarikat usaha sama Ramsay-Sime Darby

Bernama
Mac 22, 2022 04:16 MYT
SDH dan Ramsay Health Care telah menerima cadangan daripada IHH Healthcare untuk pengambilalihan 100 peratus daripada syarikat Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd.
KUALA LUMPUR: Sime Darby Holdings Bhd (SDH) dan Ramsay Health Care Ltd telah menerima cadangan daripada IHH Healthcare Bhd untuk pengambilalihan 100 peratus daripada syarikat usaha sama 50:50 mereka, Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (Ramsay SDH).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby Bhd berkata di bawah cadangan indikatif itu, nilai perusahaan indikatif bersyarat untuk Ramsay SDH ialah RM5.67 bilion atas asas tanpa tunai, tanpa hutang.
"Cadangan indikatif itu tertakluk kepada syarat penyelesaian usaha ketekunan wajar yang memuaskan, rundingan dan muktamadnya perjanjian jual beli.
"Setelah menyemak cadangan indikatif, SDH dan Ramsay SDH telah bersetuju dengan tempoh eksklusif selama empat minggu untuk membenarkan IHH menjalankan usaha ketekunan wajar dan merundingkan perjanjian jual beli," katanya.
Ia menyatakan bahawa tiada jaminan bahawa persetujuan akan dicapai berkenaan dengan cadangan indikatif atau bahawa transaksi akan berlaku.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Sime Darby #IHH Healthcare #Ramsay Health Care