IDEAS sambut baik Kenyataan Pra-Belanjawan, jamin ketelusan

Eton Khir
September 2, 2021 17:20 MYT
Yeoh berpendapat, dokumen KPB itu turut berupaya untuk meningkatkan skor Malaysia di peringkat antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia menyambut baik usaha Kementerian Kewangan (MOF) dalam menerbitkan Kenyataan Pra-Belanjawan (KPB) bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan dan membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, pakej rangsangan ekonomi, terutamanya dalam kalangan pelabur.
Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, langkah itu itu boleh ditambah baik oleh Kementerian Kewangan dengan memperbaiki kedudukan negara dalam Open Budget Survey di peringkat antarabangsa yang berupaya mengukur ketelusan belanjawan setiap negara.
Ini berlandaskan kenyataan KPB yang menunjukkan kedudukan Malaysia dengan markah sebanyak 47 berbanding Filipina (76), Indonesia (70) dan Thailand (61).
Yeoh berpendapat, dokumen KPB itu turut berupaya untuk meningkatkan skor Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Kami telah menggalakkan pihak kerajaan untuk melaksanakan perkara ini sejak beberapa tahun yang lalu, oleh itu kami amat gembira melihat langkah ini akhirnya dilaksanakan.
"Kami berterima kasih kepada Menteri Kewangan serta Pejabat Belanjawan Negara terutamanya, kerana responsif terhadap cadangan kami.” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.
Tambahnya, KPB bakal memantapkan status perbelanjaan 2021 dan mencatat satu rekod buat Malaysia dalam usaha yang berterusan dalam meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban belanjawan.
"IDEAS turut mengalu-alukan perancangan untuk menerbitkan kertas perundingan tentang Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang akan memberikan satu arah strategik terhadap perancangan fiskal di masa hadapan,” katanya.
BACA:
  • Pra-Bajet 2022: Pemulihan ekonomi Malaysia diunjur berterusan hingga 2022 - MOF
  • Pra-Bajet 2022: Had statutori hutang mungkin ditingkat, sediakan ruang fiskal tambahan - MOF
  • Sebelum ini, Pengurus Kanan Penyelidikan di Unit Kewangan Awam IDEAS, Sri Murniati Yusuf berkata, dokumen ini masih boleh ditambah baik dengan memasukkan lebih banyak maklumat mengenai belanjawan 2022 serta unjuran hasil, perbelanjaan dan takat hutang untuk dua atau tiga tahun yang akan datang.
    “Kami juga mengalu-alukan rancangan untuk menilai semula perbelanjaan awam. Ini kerana, kebanyakan negara ekonomi maju telah mempunyai mekanisme ini dan ia akan menjadi satu alat penting kerajaan dalam usaha meluaskan ruang fiskal.” katanya.
    #Kementerian Kewangan #Tricia Yeoh #Pra-Belanjawan #ideas
    ;