Ibrahim International Business District Dilancar

Astro Awani
November 23, 2015 07:29 MYT
Sultan Johor melancarkan Projek Ibrahim International Business District (IIBD)
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melancarkan Projek Ibrahim International Business District (IIBD), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
IIBD, adalah rancangan pembangunan menyeluruh bagi membolehkan Johor Bahru mencapai status sebuah bandar raya dunia menjelang tahun 2020.
IIBD dicetuskan oleh Sultan Ibrahim sendiri, dilancarkan bersempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-57.
Menurut Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin kewujudan sebuah daerah perniagaan antarabangsa yang bernilai RM 20-25 bilion itu akan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi Johor.
Pusat itu juga akan turut mempunyai satu kawasan yang dinamakan 'Coronation Square' seluas 2.53 hektar dan disasarkan menjadi satu mercu tanda ikonik Johor Bahru.
"Semoga dengan pelancaran Ibrahim International Business disttrict ini nanti, Johor Bahru akan mampu dilonjakkan menjadi Kuala Lumpur kedua, sekaligus bertapak kukuh sebagai gerbang selatan negara yang bertaraf dunia," kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Zon transformasi Johor Bahru itu melibatkan kawasan seluas 100 hektar dan dibangunkan oleh Johor Corporation, JCorp dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, (MBJB).
Jelasnya, projek itu akan membabitkan pembinaan sebuah suite perubatan, tiga blok pangsapuri servis, sebuah menara pejabat dan hotel serta podium peruncitan.
Komponen yang membabitkan JCorp ialah Persada Annexe dan suite perubatan.
Persada Annexe adalah gedung peruncitan berkeluasan 80 ribu kaki persegi yang dibina khas untuk menempatkan 100 usahawan Bumiputera.
#IIBD #Johor Bahru #Menteri Besar Johor #Mohamed Khaled Nordin #Projek Ibrahim International Business District #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor