"Ibarat rezeki terpijak" - Peniaga terharu terima bantuan Warung Desa @KPLB
Norfarhiza Mohd Atar
Jun 27, 2022 13:42 MYT
Jun 27, 2022 13:42 MYT
LIPIS: "Sebelum ini saya guna pakai gerai yang hanyut ketika banjir dua tahun lalu namun melalui bantuan yang diterima dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini saya dapat berniaga roti canai dengan lebih selesa."
Demikian kata penerima Bantuan Warung Desa@KPLB, Oslan Awang Othman, 62, yang menerima bantuan terdiri daripada warung bergerak dan peralatan perniagaan bernilai RM10,000.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, pemberian bantuan dari KPLB berkenaan diibaratkan sebagai 'rezeki terpijak' kerana dia tidak mampu untuk membeli sendiri gerai bergerak tersebut.
"Gerai yang ada sekarang saya ambil di sebuah sekolah di sini ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan. Gerai tersebut hanyut ketika banjir besar dan saya minta izin dari pengetua sekolah untuk saya ambil dan baiki bahagian yang rosak.
"Setelah tamat kontrak pengawal keselamatan saya memulakan perniagaan roti canai dengan menumpang kedai rakan. Alhamdulillah apabila dimaklumkan saya sebagai salah seorang penerima Warung Desa @KPLB saya rasa teruja dan gembira," katanya ketika ditemui sempena Program Penyerahan Warung Desa@KPLB di Batu 2 Jalan Lipis-Benta di sini, hari ini.
Hadir menyempurnakan program berkenaan Timbalan Menteri Satu KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Sementara itu Abdul Rahman berkata, KPLB menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta membabitkan 5,000 peniaga dari pelbagai cabang perniagaan yang disalurkan melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dalam usaha meningkatkan pendapatan warga luar bandar.
"Di daerah Lipis kita telah memberikan Warung Desa@KPLB kepada 12 peniaga terpilih terdiri daripada kumpulan B40 bagi membantu mereka menjana pendapatan yang lebih baik sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.
"Saya berharap agar peniaga yang menerima bantuan ini dapat menjaga dengan baik peralatan yang diberikan sekaligus membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih kondusif," katanya.