IATA: Permintaan perjalanan udara catat peningkatan kecil pada Mei 2021

Bernama
Julai 7, 2021 05:56 MYT
IATA mula menyaksikan perkembangan positif dengan beberapa pasaran antarabangsa membukakan sempadan kepada pengembara yang telah menerima vaksin. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan permintaan perjalanan antarabangsa dan domestik mencatatkan sedikit peningkatan pada Mei 2021 berbanding bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, trafik udara masih berada di bawah paras sebelum pandemik manakala pemulihan trafik antarabangsa, terutamanya, terus terhalang oleh sekatan ketat yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara, kata IATA dalam satu kenyataan pada Rabu.
"Jumlah permintaan bagi perjalanan udara pada Mei 2021, diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) turun 62.7 peratus berbanding Mei 2019. Ia merupakan peningkatan berbanding penurunan 65.2 peratus yang dicatatkan pada April 2021 berbanding April 2019.
"Permintaan penumpang antarabangsa pada Mei ialah 85.1 peratus di bawah paras pada Mei 2019, peningkatan kecil daripada penurunan 87.2 peratus yang dicatatkan pada April 2021 berbanding dua tahun lepas. Semua rantau kecuali Asia Pasifik, menyumbang kepada peningkatan sederhana ini," katanya.
IATA berkata jumlah permintaan domestik susut 23.9 peratus berbading paras sebelum krisis (Mei 2019), naik sedikit berbanding April 2021, apabila trafik domestik turun 25.5 peratus berbanding tempoh pada 2019.
"Trafik di China dan Russia terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding paras sebelum COVID-19, manakala India dan Jepun mencatatkan penurunan ketara di tengah-tengah penularan varian baharu," kata persatuan itu.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata persatuan itu mula menyaksikan perkembangan positif dengan beberapa pasaran antarabangsa membukakan sempadan kepada pengembara yang telah menerima vaksin.
"Musim percutian musim panas di Hemisfera Utara telahpun bermula sepenuhnya. Dan agak mengecewakan banyak kerajaan yang agak lambat menggunakan data untuk memacu strategi pembukaan sempadan yang akan membantu memulihkan pekerjaan dan menyatukan keluarga," katanya.
-- BERNAMA
#IATA #perjalanan udara #antarabangsa #domestik #penerbangan #meningkat #COVID-19 #sekatan perjalanan
;