IATA: Keuntungan syarikat penerbangan dijangka tidak pulih
Bernama
Julai 15, 2016 08:04 MYT
Julai 15, 2016 08:04 MYT
Keuntungan syarikat penerbangan dijangka tidak mencatat sebarang pemulihan bagi tempoh 12 bulan akan datang, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan pada Khamis, IATA berkata berdasarkan hasil tinjauan Indeks Keyakinan Perniagaan Penerbangan melibatkan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan ketua kargo pada Julai 2016, keuntungan yang diraih industri itu susut sedikit bagi perbandingan tahun ke tahun untuk suku kedua 2016.
"Sebahagian daripadanya jelas memaparkan impak susulan serangan pengganas baru-baru ini, terutamanya bagi syarikat penerbangan Eropah.
"Berdasarkan corak aliran kejadian seumpamanya pada masa lepas, kesan negatif sedemikian terbukti hanya bersifat sementara," katanya.
Menurut IATA, hasil tinjauan itu turut menggambarkan bahawa margin keuntungan itu mulai berdepan tekanan apabila faktor kos input yang terus merosot itu kini mungkin diatasi aspek tekanan terhadap hasil industri.
"Hanya separuh daripada responden mencatatkan penyusutan kos operasi bagi suku kedua 2016 yang sejajar dengan perkembangan pasaran minyak mentah," katanya.
Menurutnya, biarpun harga minyak mencatat peningkatan sejak permulaan awal tahun ini, majoriti atau 80 peratus daripada responden tinjauan itu menjangkakan kos operasi akan terus susut atau kekal tidak berubah menjelang tempoh 12 bulan akan datang.
Mengulas hasil penumpang, kira-kira 65 peratus daripada responden itu mencatatkan penurunan bagi perbandingan tahun ke tahun untuk suku kedua 2016.
"Kapasiti pertumbuhan yang kukuh ketika ini terus memberi tekanan ketara terhadap hasil kargo," katanya.