Hutang negara masih di bawah had statutori - Tengku Zafrul

Astro Awani
Mac 24, 2021 15:39 MYT
Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan had hutang statutori masih belum melepasi paras 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hutang kerajaan masih di bawah had statutori mengikut undang-undang dan definisi hutang statutori yang tidak pernah berubah sejak tahun 2009.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau terpanggil untuk menjawab isu berkaitan hutang negara kerana ramai pihak yang membangkitkan isu berkenaan.
"Had statutori yang selalu disebut-sebut adalah had statutori untuk instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan, iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).
"Jenis-jenis hutang yang dikira di bawah had statutori ini adalah di bawah Akta yang digunapakai oleh kerajaan sejak 2009 lagi, bukan terjemahan saya seorang.
"Dalam kata mudah, definisi hutang statutori tidak pernah berubah dari tahun 2009," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-46 menerusi Facebook, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan pada akhir Disember 2020 adalah 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang adalah 54 peratus daripada KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini. Jadi, masih belum melepasi had hutang statutori 60 peratus," katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, instrumen hutang lain pula mempunyai had statutori masing-masing dan kesemuanya masih di bawah had Akta iaitu RM35 bilion untuk pinjaman luar negeri dan RM10 bilion untuk hutang Bil Perbendaharaan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu mengimbangi di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara.
"Apabila negara berada dalam krisis ekonomi, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat.
"Ekoran itu, kerajaan meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej rangsangan," jelasnya.
Beliau memberitahu, walaupun ia menaikkan hutang negara, namun ia masih tidak melepasi had statutori seperti yang dijelaskan.
Pada masa sama, tambahnya, Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.
"Tanpa keyakinan mereka, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan," katanya.
Tengku Zafrul menambah, terdapat hutang yang baik dan hutang yang buruk, yang mana hutang baik adalah seperti pinjaman diambil kerajaan untuk menampung kos inisiatif membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan.
Katanya, pinjaman bagi membangunkan infrastruktur untuk rakyat seperti lebuh raya dan kemudahan awam lain juga adalah contoh hutang yang baik.
"Apa pula hutang yang buruk? Hutang yang buruk adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini.
"Ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang legasi. Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan.
"Ini bukan alasan kerajaan untuk tidak berbelanja untuk rakyat. Saya harap ini dapat menjawab soalan beberapa pihak," katanya.
#Definisi hutang #Menteri Kewangan #KDNK #ekonomi #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #Tengku Zafrul #LAKSANA
;