Hutang negara dijangka menurun bermula 2027 - Rafizi
Sinar Harian
Ogos 9, 2024 18:45 MYT
Ogos 9, 2024 18:45 MYT
SHAH ALAM: Hutang negara dijangka menurun mulai 2027 apabila jumlah hutang terdahulu yang matang mula berkurang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hutang baharu tahunan telah berjaya diturunkan sebanyak RM14 bilion kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM100 bilion pada 2022 dalam tempoh dua tahun Kerajaan Madani mentadbir.
"Jika prestasi ini dapat dikekalkan, jumlah hutang keseluruhan negara akan mula menurun bermula 2027 ke atas apabila jumlah hutang terdahulu yang matang akan mula berkurang.
"Saya selalu terangkan bahawa pada masa kerajaan komited kurangkan hutang baharu setiap tahun, kita masih perlu membayar hutang yang diwarisi.
"Jadi, jumlah hutang tahunan itu perlu mengambil kira bayaran hutang terdahulu setiap tahun. Tempoh matang hutang kerajaan selalunya antara tiga ke lima tahun, ada yang lagi panjang dari itu," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, jumlah hutang baharu berkurang setiap tahun setelah Kerajaan Perpaduan mengambil alih.
Beliau berkata, hutang baharu yang diambil kerajaan juga dijangka turun kepada RM86 bilion untuk 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion tahun sebelumnya.
Dalam pada itu Rafizi menjelaskan, profil hutang terdahulu yang perlu dibayar kerajaan pada tahun lalu adalah RM78 bilion manakala tahun depan berjumlah RM97 bilion, RM89 bilion (2025) dan RM97 bilion (2026).
"Maknanya, hutang-hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu kini perlu dibayar oleh kerajaan sekarang.
"Walaupun ekonomi makin baik, cukai yang dikutip lebih tinggi, tetapi oleh kerana tempoh matang hutang terdahulu perlu dibayar, jumlah hutang keseluruhan masih nampak tinggi.
"Sebab itu prestasi mengurangkan hutang perlu diteliti dari juga segi jumlah baharu yang diambil oleh pentadbiran sekarang, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri," ujarnya. -- Sinar Harian