Hutang luar Malaysia kekal terurus - BNM

Bernama
Mac 27, 2019 18:26 MYT
Nor Shamsiah membentangkan hutang luar Malaysia yang berjumlah RM924.9 bilion masih kekal terurus pada Rabu. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Hutang luar Malaysia yang berjumlah RM924.9 bilion atau 64.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir 2018 masih kekal terurus meskipun secara relatifnya lebih tinggi berbanding median negara sedang pesat membangun setara.
Menurut Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia yang dikeluarkan hari ini, hutang luar Malaysia juga terbukti berdaya tahan terhadap kejutan yang teruk dan keadaan ini dijangka kekal sedemikian apabila berdepan kejutan lebih besar.
"Perkembangan ini didorong oleh faktor-faktor tertentu untuk Malaysia, termasuk jumlah penglibatan bank asing dan syarikat multinasional yang besar, rangkaian serantau institusi perbankan domestik yang meluas dan pasaran hutang domestik yang maju.
"Jenis dan profil pengumpulan hutang luar Malaysia itu sendiri menjadi faktor pengurangan risiko semula jadi, sekali gus membolehkan ekonomi menyerap kejutan luaran yang besar," kata BNM.
Bagi masa hadapan, bank pusat itu menyifatkan evolusi hutang luar yang berterusan sebagai faktor penting berikutan prospek ekonomi global dan keadaan kewangan antarabangsa akan menjadi lebih mencabar.
Berikutan itu, unjuran hutang luar Malaysia itu memberikan perspektif yang jelas bahawa ia akan kekal terurus dalam jangka sederhana.
"Unjuran ini disokong oleh ujian tekanan yang menyeluruh terhadap hutang luar dan mengesahkan semula keteguhan Malaysia untuk mengurusnya apabila berdepan kejutan teruk yang besar dan berpanjangan.
"Kedudukan rizab antarabangsa turut memberi kekuatan tambahan kepada kedudukan sektor luaran. Apa yang penting, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia bukanlah sumber utama untuk memenuhi obligasi luaran."
Menurut bank pusat itu, aset luaran mudah tunai bank dan syarikat pemastautin juga lebih daripada mencukupi bagi menampung hutang luar jangka pendek.
Aset mudah tunai tersebut boleh digunakan dengan serta-merta untuk memenuhi obligasi hutang luar entiti pemastautin tanpa perlu membuat tuntutan ke atas rizab antarabangsa selain beberapa inisiatif kerjasama dua hala dan serantau yang boleh digunakan untuk menyediakan jaringan keselamatan tambahan.
"Pengurusan hutang luar Malaysia yang berhemat, diperkukuhkan lagi oleh keperluan kehematan yang berkaitan, telah membina daya tahan negara yang teguh untuk berdepan kejutan teruk.
"Penilaian terhadap hutang luar Malaysia ini telah mengambil kira ciri dan komposisi hutang serta tersedianya penampan luaran dan juga ujian tekanan selanjutnya terhadap pelbagai jenis kejutan luar lebih teruk yang mungkin melanda ekonomi," kata BNM.
#Bank Negara Malaysia #ekonomi #hutang domestik #hutang luar Malaysia #KDNK #Keluaran Dalam Negara Kasar #Laporan Tahunan 2018 #perbankan domestik #rangkaian serantau
;