Hutang kerajaan 58 peratus daripada KDNK, masih bawah had statutori - Tengku Zafrul
Astro Awani
Februari 18, 2021 14:19 MYT
Februari 18, 2021 14:19 MYT
PUTRAJAYA: Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir 2020 mencatat 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), masih bawah had statutori 60 peratus KDNK yang ditetapkan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka itu diperoleh daripada laporan kewangan bagi Suku Keempat 2020 yang diterbitkan Kementerian Kewangan.
Kedudukan hutang itu berdasarkan pengiraan had statutori yang meliputi pinjaman Malaysian Government Securities (MGS), Malaysian Government Investment Issues (MGII) dan Malaysia Islamic Treasury Bills (MITB).
“Sehubungan itu, kerajaan mempunyai ruang fiskal untuk terus membantu rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi Malaysia dalam tahun 2021.
“Kerajaan juga tetap bersedia untuk menyokong kelangsungan rakyat dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan media Laporan LAKSANA ke-41 pada Khamis.
Dalam pada itu, meskipun KDNK negara mengalami penguncupan 5.6 peratus namun Zafrul berkata ia adalah lebih baik daripada unjuran asal organisasi antarabangsa.
“Penguncupan ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabangsa (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).
“Prestasi Malaysia juga lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1 peratus) dan Filipina (-9.5 peratus) dan negara lain seperti United Kingdom (-9.9 peratus),” ujarnya.
KDNK 2020 | Penguncupan 5.6 peratus tidak mengejutkan
Astro AWANI pada 11 Februari lepas melaporkan ekonomi Malaysia menguncup pada kadar 3.4 peratus pada suku keempat 2020 berbanding berbanding penurunan 2.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Untuk setahun penuh 2020, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus susulan kesan dan langkah kawalan pandemik COVID-19.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan untuk suku ketiga turut disemak kepada negatif 2.6 peratus.
KDNK Malaysia | Buka aktiviti perniagaan pulih kedudukan ekonomi
#KDNK
#ekonomi
#kerajaan
#COVID-19
#pandemik
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#Kementerian Kewangan
#menteri
#rakyat
#Tengku Datuk Seri Zafrul
#Menteri Kewangan
#statutori
#5 6 peratus