Hutang isi rumah susut tapi masih pada kadar tinggi - Standard Chartered
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 25, 2018 19:56 MYT
Januari 25, 2018 19:56 MYT
Kadar hutang isi rumah Malaysia menyaksikan trend penurunan sejak dua tahun lepas, menurut Ketua Penyelidikan Global Asia Tenggara, Edward Lee.
“Walaupun tahap keseluruhan hutang masih tinggi, namun kadar pinjaman pengguna menyusut.
“Jadi apabila angka penuh (2017) keluar kita bakal saksikan penurunan hutang isi rumah,” katanya selepas pembentangan Taklimat Penyelidikan Global 2018 Standard Chartered, di ibu negara, hari ini.
Ujar beliau, pendapatan isi rumah turut meningkat tahun demi tahun sekaligus memberikan gambaran positif kemampuan pengguna membayar kembali hutang serta pendapatan boleh guna.
Setakat September 2017, hutang isi rumah Malaysia dicatatkan pada 84.6 peratus berbanding 88.4 peratus pada tahun 2016.
Dalam perkembangan berasingan, Edward berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka tumbuh sederhana kepada 5.3 peratus pada 2018 berbanding 6 peratus yang diunjur bagi tahun lepas.
Pertumbuhan itu disokong oleh pelaburan dari syarikat swasta yang lebih kukuh. Pada tahun 2017, pasaran buruh semakin stabil dan ia menyebabkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama pada separuh kedua tahun ini.
“Namun, kerja-kerja infrastruktur telah banyak dilakukan tahun lepas dan kita mungkin menyaksikan pelaburan yang lebih perlahan tahun ini termasuk pertumbuhan pinjaman perniagaan," katanya.
Sementara itu, Pakar Strategi Mikro Standard Chartered, Mayank Mishra berkata bank itu positif dengan pergerakan ringgit yang dijangka berlegar sekitar 3.90 berbanding dolar AS.
“Ringgit masih lagi dibawah nilai sebenar berbanding mata wang negara membangun Asia lain, dan ia merupakan mata wang yang menarik dari segi penilaian sebenar,” ujarnya.