Hutang isi rumah susut kepada 83 peratus tahun lepas - BNM

Afiq Ariffin
Mac 27, 2019 20:48 MYT
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata beberapa langkah sudah diambil bank pusat untuk memastikan hutang isi rumah dikawal. - Astro AWANI / Shahir Omar
Hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia susut kepada 83 peratus tahun lepas daripada 84.3 peratus pada 2017, didorong langkah berhemat makro dalam memperkukuh daya tahan isi rumah.
Pertumbuhan hutang isi rumah pada 2018 terus berkurangan pada 4.7 peratus, didorong terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan bukan bank yang lebih perlahan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun hutang isi rumah menaik, ia selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah dan aset.
“Hutang isi rumah terus meningkat meskipun ia naik selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah dan aset.
“Pada 2018 hutang isi rumah meningkat 4.7 peratus manakala nisbah berbanding KDNK terus menyusut kepada 83 peratus. Jumlah hutang tertunggak juga menyusut," ujarnya.
Namun, menurut beliau menegaskan bahawa masih ada risiko yang bakal wujud.
“Kemungkinan tunggakan hutang oleh peminjam kebanyakan adalah sebab pembelian rumah mewah dan juga golongan berpendapatan rendah yang mempunyai pinjaman bank.
“Meskipun ia tidak mencetuskan risiko kepada kestabilan kewangan, namun ia menimbul risiko kepada ekonomi secara meluas dan secara tidak langsung terhadap sistem kewangan jika isi rumah terus berdepan tekanan hutang," tegas Nor Shamsiah.
Beliau berkata beberapa langkah sudah diambil bank pusat untuk memastikan hutang isi rumah dikawal.
Antaranya mengalakkan pembayaran pantas hutang untuk elak tunggakan.
Pertumbuhan pembiayaan peribadi, yang mendorong peningkatan pantas hutang isi rumah sebelum ini, telah berkurangan dengan ketara susulan pelaksanaan pelbagai langkah sejak 2012.
Pertumbuhan turun kepada 2.3 peratus pada 2018 daripada 2.8 peratus pada 2017 (paras tertinggi 25.2 peratus pada 2008).
Untuk rekod, sejumlah besar daripada hutang isi rumah adalah untuk pengumpulan harta kekayaan seperti membeli kediaman (52.8 peratus), bukan kediaman (6.8 peratus) serta pelaburan dalam dana simpanan (5.7 peratus).
#Bank Negara Malaysia #Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus #Gabenor Bank Negara Malaysia #Hutang isi rumah #KDNK
;