Hubungan baik Malaysia dengan negara luar bantu tingkatkan prestasi harga minyak sawit mentah - Ahmad Jazlan
Firdaus Azil
November 30, 2020 14:57 MYT
November 30, 2020 14:57 MYT
BANGI: Keputusan Kerajaan India menurunkan duti kastam ke atas minyak sawit mentah (MSM) menjadi antara faktor utama peningkatan ketara harga komoditi itu di negara ini, kata Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Menurut beliau, peningkatan permintaan dari India yang merupakan pembeli minyak sawit terbesar dunia, akan membantu menyokong harga komoditi itu sehingga ke tahun hadapan.
Ujarnya lagi, penghargaan harus diberikan kepada kerajaan, khususnya Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan diplomatik Malaysia-India terus di tahap terbaik.
“Saya rasa, di sini juga perlu saya sebutkan terima kasih kepada Menteri Luar Negeri atas usaha yang dilakukan untuk terus mengekalkan hubungan diplomatik baik dengan rakan sejawat beliau.
“Dengan hubungan harmoni seperti ini, ia akan melengkapkan usaha kita dalam memastikan sawit Malaysia akan jadi tumpuan kepada negara-negara luar,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Baru-baru ini India melalui Kementerian Kewangannya mengumumkan penurunan duti kastam bagi MSM kepada 27.5 peratus daripada 37.5 peratus, sebagai salah satu usaha melindungi dan mengimbangi keperluan domestik dengan kenaikan harga global.
Penganalisis komoditi menjangkakan Malaysia akan mengambil kesempatan tersebut untuk meningkatkan lagi eksport MSM ke negara tersebut, sekali gus dapat menaikkan prestasi harga komoditi berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, keputusan kerajaan India juga menunjukkan keyakinan negara tersebut serta negara-negara pengimport MSM lain terhadap keupayaan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani kemelut ekonomi ekoran penularan pandemik COVID-19.
Katanya, pengeluaran MSM bagi tempoh April hingga Oktober 2020 mencatatkan prestasi yang setanding atau lebih baik berbanding tempoh yang sama pada 2019.
“Prestasi harga minyak sawit mentah bagi tempoh Januari - Oktober 2020 iaitu RM2,583.20 setan, meningkat sebanyak RM575 atau 28.6 peratus berbanding RM2,008.50 setan pada tempoh yang sama pada tahun 2019.
“Harga minyak sawit mentah telah meningkat dengan ketara kepada RM3,581.50 setan pada 19 November. Kenaikan harga sawit yang berada di paras terendah iaitu RM2,021.50 setan pada 12 Mei 2020 (peningkatan 77.17 peratus), telah mendorong harga Buah Tandan Segar (BTS) kepada RM760 setan berbanding RM408 setan pada Mei lalu,” katanya lagi.
#Ahmad Jazlan Yaakub
#Pengerusi MPOB
#harga minyak sawit mentah
#MPOB
#Lembaga Minyak Sawit Malaysia
#Malaysia
#Hishammuddin Tun Hussein
#hubungan diplomatik
#kelapa sawit
#India
#China
#pandemik
#COVID-19
#Muhyiddin Yassin
#Perikatan Nasional